GEORGE TOWN – Peminat motosikal berkapasiti 150cc dan ke atas terutama Yamaha Y15ZR, Honda RS150R dan SYM Tuscany perlu bersiap sedia dengan kenaikan harga antara RM300 dan RM600 bagi keluaran baharu model itu pada tahun depan.
Ini selepas kerajaan mewajibkan kenderaan itu dilengkapi dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) bermula 1 Januari 2025.
Pengarah urusan sebuah premis perniagaan motosikal di Seberang Perai, William Khoo berkata, pihaknya menjangkakan berlaku kenaikan harga motosikal import terutama keluaran China dan Jepun.
Katanya, motosikal keluaran Jepun seperti Yamaha Y16ZR, Yamaha NVX, Honda RSX 150 dan Honda ADV160 dilengkapi ABS, namun masih terdapat model lain yang belum mempunyai sistem tersebut.
“Memang akan berlaku kenaikan harga bagi keluaran baharu enjin berkapasiti 150cc dan ke atas disebabkan penambahan sistem ABS. Pihak pengilang sudah dimaklumkan mengenainya.
“Kami berpendapat ia satu keperluan jika motosikal baharu lengkap dengan ABS sebagai salah satu usaha mengelak dan mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya selain faktor pemanduan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Khoo, pemasangan ABS pada motosikal keluaran baharu terutama yang menjadi pilihan mereka yang suka menguji kelajuan seperti Yamaha Y15ZR dikatakan mampu mengekang aktiviti lumba haram.
“Ini kerana, selain berlaku kenaikan harga bagi model baharu, harga modifikasi juga akan naik. Maka, sedikit sebanyak ia akan memberi kesan. Hasrat untuk modifikasi motosikal (dilengkapi ABS) mungkin terbantut sebab ada mekanik yang menetapkan upah modifikasi yang tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, jurujual El Chong Motor Sdn. Bhd., Kent juga tidak menafikan akan berlakunya kenaikan harga motosikal bagi keluaran model baharu termasuk perubahan pada meter serta pendawaian.
“Ini akan melibatkan kos yang tinggi. Mengenai aspek keselamatan pula, pada pandangan saya semuanya terpulang kepada cara tunggangan.
“Jika motosikal dilengkapi dengan sistem ABS sekalipun, namun masih ada yang cuai dan tidak patuh peraturan jalan raya, maka ia sia-sia,” katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi dilaporkan berkata, semua motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150cc dan ke atas wajib memiliki ABS bermula pada 1 Januari tahun hadapan.
Kerajaan memutuskan perkara tersebut kerana berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ABS berupaya mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya sebanyak 31 peratus.














