fbpx
Masih banyak pembangunan sedang dilaksanakan di Kuala Lumpur. - GAMBAR HIASAN

Tanah jerlus: Kawal pembangunan bukan hentikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA Lumpur kini sudah mencapai usia 52 tahun selepas diisytiharkan sebagai bandar raya pertama di Malaysia.

Jika dilihat kembali sejarah­nya, bandar ini sebenarnya te­lah ditubuhkan sejak 1857 iaitu 167 tahun lalu untuk perlombongan biji timah.

Bandar pernah mengalami beberapa episod duka anta­ranya perang saudara, kebakaran pada 1881 dan banjir besar pada 1971.

Namun, Kuala Kumpur kembali bangkit dan membangun dengan pesat pada dekad 90-an. Banyak bangunan tinggi dan pencakar langit mula dibina ­ketika itu.

Malah, menurut laporan Council on Tall Buildings and Urban Habitat (CTBUH), Malaysia merupakan negara keempat yang mempunyai pencakar langit terbanyak di dunia.

Kata laporan itu, negara ini memiliki sebanyak 293 bangunan berketinggian 150 meter (m) ke atas, 67 buah bangunan (200 m ke atas) dan 6 bangunan (300 m ke atas).

Jika melihat Kuala Lumpur pada hari ini, masih banyak lagi pembinaan baharu yang sedang dibangunkan.

Mana tidaknya, asalkan ada tanah, pastinya ada jengkaut yang sedang bekerja.

Walaupun manfaat pemba­ngunan itu secara relatifnya baik untuk negara, namun jika berlebihan ia mungkin membawa lebih banyak mudarat.

Bulan lalu, negara dikejutkan dengan insiden seorang pelancong wanita warga India yang terjatuh dan hilang akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur ketika sedang berjalan di kawasan berkenaan.

Satu kejadian mendapan dan longkang pecah sehingga me­ngakibatkan lubang besar turut dilaporkan berlaku beberapa hari selepas itu.

Kejadian berkenaan secara tidak langsung mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Adakah Kuala Lumpur masih selamat menjadi persoalan utama mereka.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Dr. Norwati Jamaluddin mengakui bahawa Kuala Lumpur perlu melalui fasa pemeliharaan dan pemuliharaan.

“Pembangunan di Kuala Lumpur bukan perlu dihentikan sebaliknya mesti dikawal meskipun ia tidak serancak ­dahulu dengan pihak berkaitan boleh membuat kajian yang lebih mendalam berhubung kawasan ini.

“Dari segi binaan dan sistem saliran sedia ada, ­penyelenggaraan adalah paling penting dan mesti dilaksanakan secara teratur bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

“Sedikit sebanyak usaha untuk memeriksa dan kajian tentang geoteknikal dan juga kawalan pembangunan merupakan tindakan yang wajar untuk meredakan kerisauan masyarakat,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Justeru, dengan perancangan rapi dan kajian lanjut, diharap­kan bandar ini mampu kekal berdaya tahan demi kemaslahatan generasi akan ­datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN