fbpx
Telepok merupakan hiasan kepala wanita dalam Adat Perpatih dengan menggunakan kain.

Telepok ‘tak lapuk dek zaman’ di era milenium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sudah manis bertambah manis lagi apabila melihat anak gadis dan wanita semakin selesa menggayakan telepok di mana-mana majlis rasmi serta keramaian di Negeri Sembilan ini.

Bahkan, tidak terlalu berlebihan jika dikatakan telepok di era milenium ini tak lapuk dek zaman.

Antara yang kerap membawa imej telepok sejak lebih tiga tahun lalu ialah penyampai radio dan pengacara popular di negeri ini, Nen Tebabo.

Jika diteliti, trend pemakaian telepok berkenaan bukan hanya melambangkan keunikan amalan Adat Perpatih di negeri ini, bahkan mendekatkan lagi generasi muda dengan warisan orang Minangkabau dari Sumatera sejak ratusan tahun lalu.

Menyedari kepentingan memartabatkan pengamalan Adat Perpatih termasuk pemakaian tradisional, kerajaan Negeri Sembilan telah berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila mengumpulkan seramai 1,002 wanita memakai telepok iaitu paling ramai setakat ini.

Kejayaan itu dicapai menerusi salah satu acara bersempena Program Perpatih Fest 2024 selama lapan hari di Dataran Nilai baru-baru ini.

Menurut Kurator, Bahagian Antikuiti, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Rosrita Mohamad Nordin, telepok merupakan hiasan kepala yang sering digunakan semasa menjalankan aktiviti harian di rumah atau ketika berkebun dan bersawah di bendang.

“Pemakaian telepok ini bertujuan melindungi kepala daripada pancaran terik matahari semasa berkebun atau bersawah,” katanya kepada Panorama.

Malah ujarnya, pemakaian telepok kini boleh dipelbagaikan dalam majlis sambutan adat atau majlis keramaian dan tidak terhad semasa berkebun.

“Pada awal penciptaan telepok hanya menggunakan kain batik, selari dengan peredaran zaman, telepok kini boleh digunakan dengan kain songket untuk digunakan semasa majlis keramaian atau untuk acara sambutan dalam majlis rasmi kerajaan,” katanya.

Menurutnya, dalam usaha untuk melestarikan pemakaian telepok, Lembaga Muzium Negeri Sembilan sentiasa menjalankan pelbagai program dan aktiviti.

“Antara usaha Lembaga Muzium Negeri Sembilan ialah membuat rancangan bual bicara bersama pelajar-pelajar di sekolah dan demonstrasi pemakaian telepok, selain cipta rekod MBOR Pemakaian Telepok Paling Ramai sebanyak 1,002 orang pada 29 Julai lalu.

“Selain itu, demonstrasi pemakaian telepok juga diadakan semasa mengadakan pameran-pameran bergerak,” katanya.

Seorang wanita membantu seorang wanita lain mengemaskan telepok dalam kemeriahan program Perpatih Fest di Dataran Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Bahkan kongsi Rosrita, Lembaga Muzium Negeri Sembilan telah menerbitkan satu video tatacara pemakaian telepok untuk menjadi bahan rujukan pemakaian telepok.

“Video ini dapat dilihat di laman Facebook Rasmi Lembaga Muzium Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, bagi Ibu Soko Suku Biduanda Luak Ulu Muar, Normaintan Ujang, 68, berkata, usaha kerajaan negeri dalam penganjuran Perpatih Fest itu secara tidak langsung sangat membantu dalam menjadikan pemakaian tradisional adat di negeri ini semakin dikenali ramai.

Menurut pesara jururawat itu, telepok menjadi salah satu pakaian rasmi yang dipakai oleh Ibu Soko sepertinya iaitu gelaran adat bagi wanita atau perempuan yang akan dijadikan rujukan berkaitan adat.

“Telepok ini merupakan pakaian tradisi orang dulu-dulu untuk dijadikan sebagai penutup kepala. Orang zaman dahulu tak pakai tudung jadi penggunaan telepok ini sebagai perlindung di kepala mereka.

“Kini kerajaan negeri telah mengambil pendekatan untuk memartabatkan pemakaian tradisi adat perpatih dan sebagai Ibu Soko, tentunya saya sangat teruja melihat banyak wanita termasuk pelajar sekolah mula mengenakan telepok dalam majlis keraian di negeri ini.

Menurutnya yang mula memegang amanah sebagai Ibu Soko kira-kira 20 tahun lalu, minat memakai telepok juga kini bukan hanya dalam kalangan masyarakat Melayu, masyarakat bukan Melayu seperti Cina dan India juga berminat memakai telepok.

“Kita pun tak ada masalah untuk ajar mereka pakai telepok kerana pemakaiannya amat mudah. Hanya perlu kain batik atau songket, tanpa perlu guna sebarang jarum atau pin.

“Kain kemudian perlu dilipat dua sama saiznya dan pemakainya perlu menunduk sedikit untuk meletakkan kain di kepala,” katanya.

Menurutnya, pemakaian telepok paling baik ialah dengan mengambil kira kedudukan kening dengan kain berkenaan diangkat ke belakang betul-betul di atas kening.

Menurutnya yang dikenali sebagai Ibu Soko Kak Ngah, terdapat perbezaan pemakaian telepok orang dahulu untuk turun ke sawah dengan telepok yang telah dimodenkan.

Sambil menunjukkan pemakaian telepok ke sawah, beliau menunjukkan telepok tersebut kelihatan lebih kembang serta mempunyai juntaian kain di belakang.

Berbanding pemakaian telepok yang telah dimodenkan, ia diikat di bahagian dalam supaya lebih tegap dan diselitkan lebihan kain serta kelihatan lebih kemas di bahagian belakang.

Menurutnya, sekiranya semua pihak dapat memperkenalkan pemakaian telepok berkenaan termasuk di sekolah, tentunya generasi muda akan mahir dengan pemakaian tradisi tersebut.

“Bagi saya, melihat telepok ini diiktiraf sudah sangat mengujakan, apatah lagi lihat orang ramai gembira dan cantik memakainya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN