fbpx
Model Smart #3 diberi sentuhan hidung jerung pada bahagian hadapan dan pintunya tanpa bingkai.

Smart ‘pencetus’ gelombang EV tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GELOMBANG global peralihan kenderaan elektrik (EV) turut menyaksikan kemunculan variasi kenderaan mesra alam itu dengan rekaan-rekaan menarik di atas jalan raya negara ini.

Malaysia berada di landasan betul untuk menjadi kuasa hebat dalam industri EV di Asia Tenggara dengan kerajaan secara agresif menggalakkan ekosistem EV yang kondusif.

Meskipun negara ini belum secara rasmi menawarkan EV keluaran sendiri di pasaran, namun riak-riak ke arah itu semakin terlihat daripada kerjasama hebat Proton dengan pihak-pihak lain yang berkepakaran sekali gus membayangkan persediaan.

Dengan latar belakang elektrifikasi yang pesat dan peralihan pilihan pengguna, jenama Smart yang direka oleh Mercedes-Benz dan dibina dengan Seni Bina Elektrik Lestari Geely (SEA) dilihat muncul sebagai peneraju utama.

Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (Pro-Net) selaku pengedar dan pengimport rasmi jenama Smart di Malaysia dan Thailand telah meluaskan tawaran EV penuh menerusi pengenalan model #3 awal Julai lalu. Pro-Net adalah anak syarikat milik penuh Proton, syarikat automotif pertama negara.

Model #3 ialah EV kedua ditawarkan Pro-Net selepas Smart #1 sebelum ini yang ditawarkan pada tahun lalu.

Selaras dengan perkembangan kenderaan tenaga baharu bagi mengurangkan emisi karbon, kenderaan utiliti sukan (SUV) ala coupe itu bakal memberi saingan dalam lanskap EV dengan kelebihannya dari segi rekaan yang sporty dan aerodinamik.

Model Smart #3 yang dipasarkan oleh Pro-Net, anak syarikat Proton dilancarkan pada Julai lalu.

Rekaan luaran SUV eksklusif itu menerima sentuhan elemen ‘hidung jerung’ di bahagian hadapan menampakkan sisi kenderaan yang lebih maskulin dan energetik.

Selain itu, ia ditampilkan dengan spoiler belakang yang sporty ditambah struktur seperti berotot lengkungan.

SUV ala coupe ini ditampilkan dengan gril hadapan bercahaya bersama unit lampu utama CyberSparks LED dengan bantuan lampu adaptif serta ruang udara hadapan berbentuk trapezoid.

Dengan slogan #ChaseTheTrill Smart #3 mengajak orang ramai untuk meneroka inovasi canggih menerusi tiga varian untuk pasaran Malaysia iaitu Pro, Premium dan Brabus.

Bagi varian Pro dan Premium, ia diperkemas dengan rim aloi Flux bersaiz 19 inci berintangan angin rendah.

Dari segi dimensi, #3 mempunyai ukuran 4,440 milimeter (mm) panjang, 1,800mm lebar, 1,600mm tinggi dan jarak roda 2,785mm.

Penulis berpeluang memandu uji Smart #3 menelusuri laluan bandar dan lebuh raya, ternyata pecutannya mampu beri saingan kepada jenama premium EV lain dengan prestasi luar biasa.

Fungsi Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) dalam #3 ini berfungsi dengan baik terutama aspek keselamatan di tahap tertinggi.

Hasil pandu uji mendapati sistem teknologi itu akan berfungsi dengan sendiri sekiranya pemandu berdepan risiko bahaya ketika pemanduan.

Varian Pro dan Premium merupakan versi pacuan roda-belakang (RWD) dengan motor elektrik tunggal 272PS (268hp atau 200kW), manakala Brabus dibekalkan dengan dua motor elektrik membolehkan ia memacu semua roda bersama bekalan kuasa penuh berjumlah 428PS (422hp atau 315kW) dan tork 543Nm.

Bumbung panorama menjadikan EV ini tampak kelas.

Varian Pro dikuasakan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 49 kWh dan ia boleh memberi jarak gerak sejauh 325 kilometer (km) dengan pengecasan tunggal.

Kadar pecutan varian Pro dan Premium dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 5.8 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai mencecah 180 km/j.

Bagi pengecasannya, #3 boleh dicas menggunakan pengecas AC berkapasiti 22kW dengan status pengecasan 10 peratus hingga 80 peratus boleh dicapai dalam kurang dari tiga jam. Namun, jika menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 150kW, ia boleh mencapai status pengecasan pada tahap yang sama di bawah 30 minit.

Meninjau ke ruangan kabin, rekaannya nampak minimalis tetapi eksklusif dengan corong pendingin hawa berbentuk turbin mendapat suntikan elemen seperti Mercedes-Benz.

Ia juga dilengkapi paparan head-up 10 inci, sistem 13 pembesar suara Beats, tempat duduk material suede, bumbung panorama, sistem multimedia skrin sesentuh 12.8 inci dan meter pemandu LCD penuh 9.2 inci.

Ciri menarik lain #3 ialah suis tailgate (bonet belakang) menampilkan suis tersembunyi dengan menekan butang ‘a’ pada lencana Smart ia akan terbuka secara automatik.

Selain itu, pintu tanpa bingkai merupakan ciri eletrifikasi sofistikated #3 yang sering digayakan model EV.

Bahagian bonet belakang kenderaan ini turut mempunyai suis tersembunyi yang membolehkan dibuka secara automatik.

Untuk aspek keselamatan, #3 hadir dengan 21 fungsi ADAS bagi bantuan pemanduan termasuk bantuan parkir automatik, kamera 360 darjah, amaran trafik melintas hadapan dan belakang, bantuan kekal laluan, bantuan menukar lorong dan bantuan kelajuan pintar.

Dari persepsi penulis, Smart #3 dilihat mampu memenuhi keperluan pelbagai segmen pelanggan dari peminat prestasi tinggi hinggalah ke pengguna harian yang mencari kenderaan elektrik premium yang praktikal.

Dalam pada itu, model EV pertama jenama automotif nasional Proton e.MAS 7 dijangka membuat penampilan awam pertamanya semasa perarakan Hari Kebangsaan hari ini.

Ia akan muncul dengan motif penyamaran khas mewakili warna Jalur Gemilang, sebagai sebahagian daripada kontinjen 25 kereta yang menampilkan pelbagai model Proton.

Proton yang kini berusia 41 tahun, merupakan sebahagian penting dalam sejarah Malaysia dan kisah perindustrian ekonomi negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN