MENJADI seorang tekong bukanlah semudah dilihat oleh mata orang awam yang hanya menggambarkan mereka cuma memandu bot dan membawa pemancing ke laut.
Ia adalah satu tugas mencabar yang bukan hanya tentang kemahiran mengendalikan bot tetapi berdepan dengan situsai di lautan biru serta memastikan penumpang pergi dan pulang dengan selamat.
Namun begitu, menjadi tekong tetap menjadi kerjaya yang memberikan kepuasan buat pemuda asal Perak, Mohd. Ridzuan Mohd. Zin yang menukar pekerjaan sejak lima tahun lalu.
Katanya yang mesra disapa dengan gelaran Wan Rakan Muda, nama tersebut menjadi panggilan rakan-rakan kerana sebelum ini dia bekerja sebagai kakitangan di Kompleks Rakan Muda, Sementa, Klang, Selangor.
“Hobi saya memang memancing sejak dahulu, tambahan pula di belakang tempat kerja, ada jeti (Jeti Sementa) dan kawan juga mempunyai bot sendiri.
“Awalnya, saya kerap mengikut kawan menaiki botnya untuk memancing dan juga membawa pemancing lain, kemudian saya membeli bot sendiri kerana melihat menjadi tekong boleh menjana pendapatan,” katanya ketika ditemui K2 di Jeti Sementa, Klang.
Katanya lagi, selain ilmu memancing, seorang tekong perlu tahu mengendalikan bot dengan baik, memahami keadaan cuaca serta peka dengan keadaan sekeliling, selain mematuhi aspek keselamatan ketika membawa penumpang.
Seorang tekong juga perlu tahu lubuk-lubuk memancing yang boleh membuahkan hasil kerana itu tujuan utama pemancing memilih perkhidmatan seorang tekong selain kemudahan yang disediakan.
Berkongsi tentang khidmat tekongnya, bapa kepada seorang cahaya mata itu memberitahu dia berpangkalan di Jeti Sementa dan membawa pemancing ke lokasi di sekitar 60 kilometer dari pantai di lautan selat sekitar Klang.
“Biasanya saya akan membawa pemancing ke lubuk kapal karam kerana di sana ada banyak ikan yang menjadi buruan pemancing seperti ikan jenahak, kerapu, pari, merah, gerut-gerut dan lain-lain,” ujarnya.

Tambahnya, di sekitar kawasan laut dalam jangkauannya terdapat lima hingga enam lubuk yang menjadi lokasi tujuan setiap kali dia membawa pemancing.
Antara ikan-ikan yang terdapat di lubuk-lubuk memancing sekitar laut Klang, rata-rata pemancing yang menggunakan khidmat Wan Rakan Muda lebih gemar memburu ikan jenahak.
Kongsinya lagi, untuk trip memancing, dia akan bermula dari pukul 4 petang hingga 8 pagi keesokan harinya dengan kapasiti enam orang maksimum setiap perjalanan kerana ikan-ikan yang menjadi kegemaran pemancing aktif pada waktu malam.
Sebagai tekong juga, Wan Rakan Muda tidak lokek berkongsi tip memancing dengan pemancing kerana setiap tekong mempunyai cara tersendiri untuk membantu pelanggan mendapatkan hasil, selain membantu mereka mendapatkan ikan (jika jumlah pemancing kurang dari enam orang).
Jelasnya, antara tip yang dikongsi biasanya tentang peralatan, umpan dan teknik memancing yang bersesuaian untuk memudahkan pemancing menangkap ikan.
“Bagi peralatan, saya sering sarankan supaya mereka menggunakan mesin bangla (bangla reels) kerana teknik memancing untuk trip ini adalah bermain dasar, selain menyediakan perambut sepanjang dua depa dan mengikat dua mata kail.
Meskipun keadaan laut di Selat Melaka berbeza dari Pantai Timur kerana tiada musim seperti monsun dan boleh turun ke laut setiap bulan, tekong juga masih berdepan cabaran dengan keadaan angin dan ribut.
Kata Wan Rakan Muda lagi, perjalanan memancing juga bergantung keadaan cuaca kerana jika angin kuat, ia terpaksa ditangguhkan kerana semakin kuat angin, ombak juga akan tinggi.














