SAMA ada kita akui atau tidak, sejak jaringan internet menjadi sumber utama rujukan dunia dengan cukup mudah serta terlalu pantas, rujukan mengenai fesyen juga kian meragukan – sumber yang diedarkan secara berleluasa dengan informasi yang kabur, konteks yang bercelaru, akhirnya memberi kefahaman yang kurang tepat kepada pembaca.
Pelajar terutamanya dibimbangi semakin melupakan evolusi sejarah fesyen yang sebenarnya berlaku.
Kini, kebanyakan mereka hanya melihat serta menilai peristiwa penting dalam sejarah fesyen hanya melalui satu-satu foto yang diunggah dalam Instagram, Facebook, Pinterest dan sebagainya yang selalunya tiada penerangan langsung atau sekadar dengan info ringkas, tidak terperinci dan tiada jaminan kesahihan.
Kita perlu sedari pengetahuan yang mendalam tentang industri fesyen dari dahulu hingga sekarang adalah amat penting untuk bertahan dalam landskap industri fesyen yang sentiasa berubah-ubah.
Kefahaman tentang perubahan dalam pakaian dan siluet dalam abad berbeza serta konteks identiti masyarakat adalah sangat penting. Dengannya, pereka mampu meramal kitaran fesyen, serta menilai jurang pasaran yang pelbagai.
Penyelidikan
Segalanya adalah tentang interpretasi penyelidikan yang tersendiri, sama ada penyelidikan dalam sejarah fesyen global, politik, ekonomi, muzik, seni bina, tekstil dan pelbagai lagi. Majikan/ pelabur mahukan graduan yang berpengetahuan tinggi. Contohnya, jika anda mahu bekerja dengan sesuatu jenama berprestij, anda perlu tahu siapa pereka atau pengarah kreatif jenama tersebut dari dahulu hingga sekarang, juga sejarah jenama tersebut. Ini adalah sebahagian daripada pemahaman tentang peta budaya industri fesyen. Penyelidikan sangat penting jika kita mahu menjadi pakar dalam sesuatu bidang.
Ilmu
Kayakan minda dengan menikmati pameran seni, program bual bicara. Ini amat penting untuk kita mewah dengan ilmu pengetahuan budaya warisan dan kontemporari. Semua elemen ini menyumbang kepada penghasilan karya/ rekaan yang hebat serta bersifat sejagat. Untuk mengetahui tentang keperluan masa depan industri, kita juga terlebih dahulu perlu tahu dan faham tentang sebanyak mungkin segala pencapaian, isu-isu utama.
Identiti
Semua pereka perlu faham tentang apa itu DNA ataupun identiti sesuatu jenama. Contohnya; jika anda berpeluang untuk menghadiri temu duga dengan jenama berprestij dunia, anda seharusnya memahami bukan hanya beberapa kempen koleksi terbaharu atau visi beberapa pengarah kreatif yang terkini, tetapi anda juga perlu tahu tentang siapakah pengasas jenama tersebut dan bagaimana mereka merangka, mencorak konsep jenama pada tahun atau dekad sebelumnya. Apa yang telah berlaku dahulu adalah cerminan apa yang kita lihat hari ini.
Bakat
Apa yang dimahukan oleh syarikat/ jenama besar antarabangsa seperti J.W.Anderson, Tom Ford atau Dior (sekadar menyebut beberapa nama) adalah graduan yang mempunyai ciri-ciri bakat luar biasa yang tentunya unik dan hebat dalam penyelidikan serta tidak pernah dilihat sebelumnya. Mereka tidak mahu melihat interpretasi inspirasi yang telah dibuat berjuta kali oleh semua pereka. Graduan ataupun pereka yang kurang memahami sejarah dan sentiasa mendapatkan inspirasi rekaan melalui penyelidikan yang longgar; selalunya akan menghasilkan koleksi rekaan yang membosankan serta tidak membawa apapun perubahan dalam arus industri.
Pengguna
Masyarakat sebagai pembeli/ pengguna akan menjadi penentu kejayaan sesuatu koleksi rekaan. Meraka kini lebih pelbagai, berpengetahuan dan kritikal dalam memberikan pandangan. Oleh itu, pereka perlu mampu untuk berkarya dalam lingkungan ideologi kod jenama, tetapi dalam masa yang sama tidak menghasilkan sesuatu dengan tiada pembaharuan serta boleh diramal. Dalam erti kata yang lain, pereka harus sentiasa menyuntik aspirasi baharu dengan teknologi teknologi terkini tetapi dalam masa yang sama masih berpaksikan sejarah.
Pengaruh
Cuba kita pelajari impak hebat karya antara pereka paling berpengaruh dunia seperti Yves Saint Laurent, Alexander McQueen dan John Galliano. Mereka ini amat mementingkan idea imaginatif yang berteraskan inspirasi sejarah serta apa yang berlaku di sekeliling mereka. Koleksi rekaan mereka yang menjadi tanda aras penting budaya fesyen dunia- antaranya dengan membawa ledakan pengaruh aliran London Mods, Tokyo Lolitas, kolaborasi seni dan fesyen serta pergerakan Punk moden seluruh dunia.














