KETIKA berjalan di pentas peragaan Minggu Fesyen London tahun lalu, senyuman manis tidak lekang daripada bibir Beth Matthews, 24, yang sama sekali tidak menyangka bakal bergelar seorang model.
Matthews yang merupakan penghidap sindrom Down tidak pernah terbayang atau pun mengimpikan untuk menjadi model, apatah lagi seorang model yang mengubah persepsi dunia terhadap individu sepertinya.
Namun, kecantikan gadis kelahiran Swansea, Wales itu ternyata berjaya memikat hati sebuah agensi model, yang mengambil Matthews sebagai salah seorang model sejak dua tahun lalu.
Wajah Matthews turut menghiasi majalah terkemuka dunia seperti Cosmopolitan, Marie Claire dan Vogue.
Malah, wajah jelita Matthews juga pernah muncul dalam iklan syarikat teknologi dari Amerika Syarikat iaitu Amazon.
Ujar Matthews, ketika diminta untuk berjalan di pentas peragaan Minggu Fesyen London itu, dia cukup teruja, selain menyifatkan kerjayanya sebagai model telah menjadikan dia semakin yakin.
“Setakat ini, pengalaman paling menyeronokkan buat saya adalah dapat pergi ke Venice, Itali.
“Saya amat sukakan sesi penggambaran, melihat rambut saya didandan, wajah saya disolek dan seterusnya berjalan di karpet merah. Ia cukup mengagumkan,” katanya.

Bercerita tentang perubahan terbesar dalam hidupnya sejak memulakan kerjaya sebagai seorang model, Matthews memberitahu dia kini melihat dirinya sebagai seseorang yang lebih istimewa.
“Saya kini berasa lebih istimewa. Saya suka menggayakan sendiri pakaian yang ingin dipakai kerana ia menjadikan saya lebih yakin,” kongsinya.
Matthews mula terinspirasi untuk menjadi seorang model selepas melihat kejayaan seorang lagi model sindrom Down Gucci iaitu Ellie Goldstein.
Goldstein merupakan model di bawah jenama fesyen antarabangsa, Gucci yang melakar sejarah sebagai model sindrom Down remaja pertama bagi menghiasi kempen kecantikannya.
Menurut ibu kepada Matthews iaitu Fiona, tindakan anak perempuannya yang berani mengejar mimpi itu juga telah menjadi inspirasi buat pengikutnya di media sosial untuk turut sama mengejar impian mereka.
Fiona berkata, anaknya itu akan terus menjadi model sehinggalah dia berasa bosan dengannya.
“Saya melihat apa yang dilakukan oleh anak saya ini sebagai sesuatu yang turut mampu membantu ibu bapa lain di luar sana.
“Mungkin, ibu bapa yang juga mempunyai anak sindrom Down boleh melihat masa depan anak mereka dari sudut lebih positif, kerana melihat anak perempuan saya yang mempunyai satu kehidupan yang mengagumkan.
“Hidupnya sama seperti orang lain, dan mesej inilah yang mahu kami sampaikan kepada semua,” katanya.














