fbpx
Pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2006, Muhammad Yunus kini dipilih menerajui kerajaan sementara Bangladesh atau sebagai Perdana Menteri Interim negara itu.

Muhammad Yunus digelar ‘bank orang miskin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMALAN sistem kuota jawatan dalam perkhidmatan awam di Bangladesh ternyata telah menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan pelajar di negara itu.

Kekecewaan itu juga telah menyebabkan tercetusnya protes antikerajaan yang berlarutan selama hampir sebulan di negara tersebut.

Protes yang bermula secara aman itu telah bertukar ganas sehingga berlaku pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan sehingga mengorbankan banyak nyawa.

Malah, protes itu telah menyebabkan Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletak jawatan dan meninggalkan Bangladesh atas faktor keselamatan dengan mencari suaka politik di Britain.

Wakil pemimpin pelajar menjelaskan bahawa mereka tidak akan menerima kerajaan yang dipimpin oleh tentera selepas Hasina melarikan diri.

Sebaliknya, mereka mendesak pemenang Hadiah Nobel Keamanan (Hadiah Nobel), Muhammad Yunus untuk mengetuai pentadbiran sementara.

Minggu lalu, kerajaan sementara Bangladesh telah dibentuk dengan Muhammad Yunus, 84, dilantik untuk menerajuinya.

“Apabila pelajar yang berkorban banyak meminta saya untuk mengambil bahagian dalam masa sukar ini, bagaimana saya boleh menolaknya?” ujarnya selepas dilantik menjadi Perdana Menteri Interim Bangladesh.

Sebelum ini, beliau dipuji ramai kerana mempelopori penggunaan pinjaman mikro untuk golongan miskin, namun Hasina menganggapnya sebagai musuh masyarakat.

Untuk makluman, Muhammad Yunus dilahirkan pada 1940 di Chittagong, sebuah bandar pelabuhan di tenggara Bangladesh.

Beliau belajar di Universiti Dhaka, sebelum menerima biasiswa Fulbright yang berprestij untuk melanjutkan pengajian di Universiti Vanderbilt, Amerika Syarikat, di mana beliau menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi.

Pada tahun 1972, setahun selepas Bangladesh memperoleh kemerdekaan daripada Pakistan, beliau kembali ke negara itu untuk menjadi pensyarah di Universiti Chittagong.

Namun, satu bencana besar telah melanda Bangladesh pada tahun 1974, sekali gus menyebabkan rakyatnya mengalami kebuluran teruk.

“Saya dapati sukar untuk mengajar teori ekonomi yang elegan di dewan kuliah universiti dengan keadaan kebuluran yang dahsyat di Bangladesh.

“Saya merasakan ‘kekosongan’ teori-teori ekonomi dalam menghadapi kelaparan dan kemiskinan.

“Saya mahu melakukan sesuatu dengan segera untuk membantu orang di sekeliling melalui hari-hari mendatang dengan lebih mudah,” katanya dalam syarahan Hadiah Nobel 2006 selepas menerima anugerah itu.

MUHAMMAD YUNUS aktif mendekati komuniti miskin di Bangladesh.

Beliau mula memberikan pinjaman mikro menggunakan duit poketnya kepada penduduk miskin dalam komuniti bagi memulakan bisnes.

Sehinggalah pada tahun 1983, beliau akhirnya berjaya mengasaskan sebuah bank dikenali sebagai Grameen Bank.

Usahanya itu menjadi peneraju dalam usaha mengurangkan kemiskinan melalui pinjaman mikro.

Muhammad Yunus mula dikenali sebagai perintis kewangan mikro dan berjaya membantu mengeluarkan sebahagian daripada rakyat termiskin di negara itu daripada belenggu kemiskinan.

Atas sebab itulah, beliau digelar ‘sebagai bank orang miskin’.

Idea itu diilhamkan ketika lawatannya ke sebuah kampung miskin berhampiran Universiti Chittagong.

Beliau menawarkan bantuan kewangan kepada usahawan kecil yang tidak dibantu oleh bank konvensional.

Usaha murni yang dijalankannya itu berjaya dan berkembang pesat.

Menjelang awal 1980-an, perniagaannya iaitu Grameen Bank yang bermaksud ‘Bank Kampung’ dalam bahasa Bangladesh mempunyai puluhan ribu pelanggan.

Bank yang ditubuhkannya itu mempelbagaikan pelaburan mereka termasuk projek-projek di seluruh negara tersebut.

Muhammad Yunus juga mencapai kejayaan dan pengiktirafan antarabangsa.

Pada 2006, beliau telah dianugerahkan Hadiah Nobel untuk kerjayanya dalam bidang kewangan.

Ketika itu, projeknya telah menjadi model kepada kebanyakan negara membangun di dunia.

Beberapa bulan selepas menerima Hadiah Nobel, beliau mula terlibat dalam dunia politik.

“Saya bukanlah seorang yang selesa dalam politik.

“Bagaimanapun, saya tidak akan teragak-agak untuk menceburkan diri dalam bidang politik sekiranya keadaan memaksa,” katanya ketika itu.

PENUNJUK perasaan berjaya menggulingkan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Hasina baru-baru ini.

Bagaimanapun, ketika negara dilanda ketidakstabilan politik, peranannya yang lantang sebagai pengkritik kerajaan menyebabkan beliau menjadi musuh.

Pada 2007, beliau mula mengusahakan gerakan politik yang dipanggil Nagorik Shakti atau Kuasa Rakyat bagi mewujudkan pihak ketiga dalam sistem dikuasai selama beberapa dekad oleh Hasina dan pesaingnya, Khaleda Zia.

Namun, Muhammad Yunus terpaksa menarik diri daripada politik selepas hilang kepercayaan dalam perebutan kuasa dan persaingan.

“Saya bukan orang politik, saya tidak akan berbuat demikian.

“Jadi, saya segera mengumumkan bahawa saya tidak akan menubuhkan parti politik,” ujarnya.

Walaupun begitu, hubungannya dengan kerajaan masih tegang.

Perdana Menteri, Hasina yang berkuasa pada 2008 menuduh beliau ‘menghisap darah’ orang miskin melalui aktiviti perniagaan dan melancarkan beberapa siri siasatan terhadapnya.

Muhammad Yunus dan penyokongnya menyatakan siasatan itu bermotifkan politik.

Malah, pada tahun lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegur kerajaan Bangladesh kerana layanan buruk terhadap lawan politik.

“Kami bimbang dengan ugutan dan gangguan berterusan terhadap pembela hak asasi manusia termasuk pemenang Hadiah Nobel, Muhammad Yunus,” kata jurucakap Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Ravina Shamdasani.

Ketegangan politik terus meningkat dan pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Bangladesh memerintahkan Muhammad Yunus membayar cukai ke atas sumbangan amal bernilai lebih AS$1 juta (RM4.3 juta).

Kemudian, pada Januari lalu, beliau didapati bersalah kerana melanggar undang-undang buruh negara dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan bersama tiga rakan di Grameen Telecoms.

Bagaimanapun, mereka berjaya menafikan pertuduhan di mahkamah dan dibebaskan dengan ikat jamin, sementara menunggu rayuan.

Kini, setelah pemerintahan Hasina berakhir, Muhammad Yunus muncul sebagai tokoh paling digemari oleh pemimpin protes pelajar untuk mengemudi Bangladesh.

Dalam pada itu, ketika diminta menjawab berita peletakan jawatan Hasina, Muhammad Yunus berkata, Bangladesh telah ‘dibebaskan’.

“Kami adalah negara yang diduduki selagi dia (Hasina) berada di sana.

“Dia berkelakuan seperti pasukan penjajah, diktator dan jeneral yang mengawal segala-galanya.

“Kini, semua warga Bangladesh berasa seperti dibebaskan.

“Kami mahu bermula dari awal sekarang dan membina semula negara yang indah untuk diri sendiri.

“Ini janji yang ingin kami sampaikan kepada pelajar dan belia yang akan menerajui masa depan Bangladesh,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN