SEGAMAT – Pakaian seragam pasukan keselamatan polis, tentera dan bomba buat kanak-kanak mendapat sambutan hangat menjelang Hari Kebangsaan minggu hadapan.
Bagi merealisasikan impian ‘si cilik’ ingin menggayakan pakaian pasukan keselamatan tersebut, ibu bapa serta penjaga tidak berkira-kira untuk membeli dan menempah pakaian seragam berkenaan.
Menurut peniaga pakaian seragam, Raja Noratikah Raja Nazarudin, 31, dengan hanya bermodalkan RM65, ibu bapa boleh menempah baju berpakaian seragam tentera dan polis.
“Kita mendapat banyak tempahan dan pembelian pakaian seragam ini saban tahun sempena rai Hari Kemerdekaan.
“Pakej yang disediakan adalah tempahan jahitan baju tidak termasuk aksesori seperti lencana, topi, upah jahitan tanda nama dan pangkat.
“Selain itu, ibu bapa selalunya menempah saiz yang sedikit besar untuk anak-anak, jadi mereka boleh gunakan baju itu sepanjang tahun,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di Bandar Utama di sini.
Tambah Raja Noratikah, dia membuka tempahan untuk baju seragam pasukan keselamatan ini sejak Jun lalu.
“Tahun ini, pelanggan membuat tempahan seragam pasukan keselamatan anak berusia dua tahun ke atas seawal yang mungkin.
“Setakat ini hampir 30 pasang baju pasukan keselamatan polis dan tentera buat kanak-kanak untuk tahun ini telah terjual,” jelasnya.













