PULAU Aur yang terletak di perairan Mersing, Johor bukanlah asing dalam kalangan kaki pancing di negara ini.
Pulau itu yang terletak dalam kawasan Taman Marin Johor menjadi habitat pelbagai spesies ikan dasar yang kerap menjadi buruan pemancing.
Atas dasar itulah, ramai pemancing yang sanggup mengeluarkan belanja yang besar untuk menyewa bot semata-mata bagi melunaskan hobi mereka itu.
Perkara itu diakui seorang kaki pancing, Fahmie Majied, 39, dengan memberitahu, dia dan rakan-rakannya akan mengeluarkan belanja sekitar RM6,500 bagi setiap trip memancing selama dua hari satu malam untuk memburu pelbagai spesies ikan dasar di kawasan perairan tersebut.
Dia yang kini tinggal di Pasir Gudang, Johor turut memberitahu, antara spesies ikan yang banyak menghuni perairan Pulau Aur termasuklah ikan merah, ibu kerisi dan kerapu boron.
“Kebiasaannya para pemancing yang bertandang ke Pulau Aur akan menggunakan teknik ‘bottom drift’ kerana lebih sesuai dengan keadaan perairan di situ yang berkarang dan berkedalaman kira-kira 60 meter.
“Selain itu, teknik ini juga mampu menarik minat ikan dasar untuk membaham umpan yang dipasang pada mata kail.
“Untuk teknik ini, selalunya pemancing akan menggunakan kaedah dua mata kail dan dipadankan dengan penggunaan batu ladung di bahagian bawah,” katanya.
Bercerita lanjut, Fahmie memberitahu, pada trip memancing yang disertainya bersama tujuh rakan pada Julai lalu, mereka berjaya memperoleh pelbagai spesies ikan dengan hanya menggunakan teknik ‘bottom drift’.
Malah katanya, penggunaan umpan yang sesuai juga menjadi faktor kepada kejayaan mereka menaikkan hasil tangkapan yang banyak.
“Untuk memancing di Pulau Aur menggunakan teknik ‘bottom drift’, biasanya kami akan menggunakan umpan hidup berupa ikan bersaiz kecil yang dipancing menggunakan teknik apollo.
“Kebiasaannya, tekong bot akan memberhentikan bot di beberapa kawasan unjam untuk membolehkan pemancing mencari umpan hidup sebagai bekalan sebelum tiba di ‘port’ memancing yang ingin dituju.
“Selain umpan hidup, kami juga akan menggunakan isi ikan sebagai umpan untuk memburu ikan dasar,” ujarnya.
Jelas Fahmie, disebabkan saiz ikan dasar kebiasaannya lebih besar, justeru kebanyakan pemancing akan menggunakan set joran bagi aksi sederhana agar mampu menahan daya tarikan ikan.
Malah, mereka juga akan menggunakan tali perambut dengan kekuatan sekitar 60 paun yang dipadankan dengan batu ladung bersaiz sederhana.
Ia katanya, bagi membolehkan tali pancing mampu menahan tarikan ikan dasar seperti merah dan kerapu boron yang mempunyai daya lawan dan tarikan sangat kuat, selain turut bersifat ‘ganas’ untuk melepaskan diri selepas membaham umpan.
Justeru katanya, tidak hairanlah apabila spesies ikan berkenaan menjadi idaman para kaki pancing setiap kali mencuba nasib di perairan Pulau Aur.
Malah katanya lagi, dia turut bernasib baik apabila berjaya menaikkan ikan merah seberat 4 kilogram yang merupakan ikan terbesar pada ‘trip’ memancing yang disertainya itu.
“Kami berjaya memperoleh lebih 100 ekor ikan dasar sepanjang dua hari memancing di Pulau Aur baru-baru ini.
“Kesemua hasil tangkapan itu dibahagikan sama rata kepada kesemua lapan pemancing untuk dibawa pulang.
“Walaupun kesemua ikan tersebut boleh didapati di pasaran dengan mudah, tetapi memperolehnya menerusi pancingan memberi lebih kepuasan. Malah, ia juga jauh lebih segar berbanding jika dibeli di pasar.
“Saya tidak kisah jika terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang agak tinggi untuk memancing di Pulau Aur kerana ia sangat berbaloi,” katanya.














