USAHA penjagaan alam sekitar bukan sahaja tertumpu kepada kawasan hutan atau demografi hijau, malah perlu melibatkan lokasi pembangunan termasuk bandar dan lebuh raya.
Hal ini berikutan, usaha ‘hijau’ adalah salah satu inisiatif yang fleksibel dan semua kawasan boleh dijadikan sebagai mesra alam jika dirancang dengan cara betul, selain memupuk kesedaran terhadap masyarakat.
Berdasarkan konsep itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menzahirkan komitmen terhadap agenda kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar menerusi usaha berterusan menjaga lebih kurang 270,000 pokok termasuk tumbuhan renek di sepanjang lebuh raya kendalian syarikat tersebut.
Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, usaha tersebut merupakan misi syarikat itu untuk menghubungkan komuniti dalam mencorakkan masa hadapan selamat dan lestari.
Inisiatif tersebut juga disusuli dengan komitmen untuk menyokong aspirasi dan rancangan kelestarian negara melalui operasi lebuh raya peka terhadap penjagaan alam sekitar, bertanggungjawab kepada keperluan sosial serta menegakkan nilai tadbir urus yang baik.
“Usaha pemeliharaan alam sekitar PLUS bertujuan memberi pendekatan aktif bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan jejak alam sekitar.
“Inisiatif kami memanfaatkan teknologi hijau, kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui yang merangkumi pengubahsuaian lebih 37,000 lampu diod pemancar cahaya (LED)sepanjang lebuh raya.
“Selain itu, ia melibatkan pemasangan sistem PV solar di pejabat dan fasiliti kami.

“Usaha-usaha ini telah berjaya mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 27 peratus berbanding garis dasar 2017,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar baru-baru ini.
Tambahnya, lebuh raya milik PLUS juga menghubungkan pelbagai destinasi ekopelancongan yang menarik dalam negara.
Oleh itu, pihaknya menggalakkan orang ramai mengambil peluang berkenaan untuk melancong di dalam negara yang kaya dengan khazanah alam semula jadi.
Sementara itu, sebagai langkah kesedaran, PLUS turut menganjurkan program Pemuliharaan Hutan dan Kesedaran Alam Sekitar yang menampilkan pelbagai agensi berkaitan.
Program tersebut menampilkan hasil penyelidikan mengenai perhutanan tropika oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), inisiatif pemuliharaan hidupan liar oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Selain itu, terdapat pameran pertanian bandar oleh perusahaan sosial, Eats, Shoots & Roots, kesedaran mengenai sifat penyembuhan tumbuh-tumbuhan (Little Eden Succulents), serta pemeliharaan seni kraf tangan berasaskan alam semula jadi (Global Environment Centre dan Pertubuhan Sahabat Gambut Asli Temuan).
“Pengisian utama program ini melibatkan sesi interaksi dan perkongsian antara Bahagian Biodiversiti Hutan FRIM serta warga kerja PLUS.
“Ia bagi meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan hidupan liar, kepentingan dan cabaran dalam melindungi biodiversiti, serta mengenal pasti peluang untuk berkolaborasi.
“PLUS sentiasa komited terhadap pengurusan alam sekitar yang baik dan menyokong pembangunan kelestarian negara,” ujarnya.














