ALOR SETAR – Bomoh yang mendakwa mampu memulihkan penyakit kronik termasuk kanser melalui rawatan bedah batin mengaut untung mudah apabila menjadikan pesakit sebagai mangsa penipuan sehingga ada yang tergadai harta benda dan kehilangan nyawa.
Kegiatan segelintir bomoh semakin menjadi-jadi ekoran terdapat pesakit yang terdesak untuk pulih di samping mendapatkan rawatan di hospital.
Meskipun ritual perawatan yang dilakukan pelik, namun ia tetap menjadi pilihan sebilangan pesakit termasuk daripada golongan eksekutif dan pendidik.
Bedah batin ialah bomoh mendakwa mampu memberikan rawatan pada organ atau bahagian tubuh yang mengalami masalah, dimasukkan darah baharu sebelum dijahit semula secara ghaib.
Bekas pegawai bank, Zura, 45, berkata, dia membelanjakan lebih RM100,000 untuk berubat cara kampung termasuk melakukan bedah batin beberapa kali.
Katanya, ia bertujuan mengubati penyakit darah yang keluar dari puting payudaranya pada 2017.
“Pemeriksaan mamogram serta biopsi di hospital swasta dan kerajaan negatif tetapi masih tidak sihat membuatkan saya ambil keputusan berubat secara tradisional.
“Saya pergi ke Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Kelantan dan Kedah untuk berubat dan habiskan lebih RM100,000 dalam tempoh setahun, namun bukan sahaja tidak pulih tetapi semakin teruk,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Zura, dia kerap demam dan payudaranya menjadi merah serta panas sebelum disahkan mengalami jangkitan. Dia kemudian menjalani pembedahan di hospital untuk membuang nanah sebelum disahkan menghidap kanser.
Tambahnya, walaupun mengetahui ritual bomoh itu pelik, namun dia tetap mencuba untuk pulih.

KEPERCAYAAN terhadap bomoh masih menebal dalam kalangan masyarakat. – GAMBAR HIASAN
“Ketika bedah batin, bomoh kata payudara lama akan dibuang dan diganti dengan baharu. Dia buat pergerakan tangan seperti sedang bedah dengan bayaran RM500,” katanya.
Ujar Zura, ada juga bomoh yang membuat kemoterapi dengan harga RM2,000 dan memberi ubat dengan kos RM4,000 untuk sekali rawatan.
“Bomoh lain pula ada yang menurun dan memberitahu kononnya terkena buatan orang. Ada yang beri air untuk sapu dan menyuruh saya pantang makan kambing, susu, pisang dan banyak lagi,” katanya.
Menurut Zura, dia ada juga pergi sebanyak lima kali kepada bomoh di Perak yang merawat dan menjual pil susu harimau berharga RM300 sebotol.
“Saya tidak lagi percaya bedah batin dan hanya pergi ke hospital sahaja,” katanya.
Sementara itu, seorang guru, Azlina, 44, berkata, dia terpengaruh dengan bedah batin selepas rakannya mendakwa sembuh kanser rahim selepas berubat di Kuala Muda.
“Dia bedah bawah perut saya untuk buang kanser itu dan ditutup dengan pembalut luka. Antara peralatan yang digunakan ialah daun sirih dan kapur. Bomoh juga membaca jampi tertentu yang saya sendiri tidak faham,” katanya.
Tambahnya, akibat percayakan bomoh, kansernya kini merebak ke tahap tiga akibat lambat mendapatkan rawatan di hospital.














