SUNGAI PETANI – Keluarga Allahyarham Muhammad Hafiz Muhammad Salleh tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang dan akur dengan keputusan laporan penuh nahas pesawat di Elmina, Shah Alam yang dikeluarkan kelmarin.
Bapanya, Muhammad Salleh Othman, 58, berkata, mereka telah reda dengan kejadian itu biarpun masih terasa kehilangan Muhammad Hafiz, 32.
Katanya, mereka sekeluarga enggan menyaman mana-mana pihak atas alasan cara kematian arwah sudah ditentukan sebegitu.
“Arwah tidak pernah memberi masalah kepada keluarga takkan kita mahu menyusahkan dia yang telah meninggal dunia dengan saman menyaman.
“Ada peguam hubungi saya untuk membantu saman tetapi kami enggan,” katanya.
Muhammad Hafiz yang bekerja sebagai penghantar makanan maut apabila ditimpa pesawat tersebut ketika dia dalam perjalanan ke sebuah restoran di Bukit Jelutong bagi mengambil pesanan sup gearbox.
Sementara itu, adik arwah, Norhikmah, 27, berkata, mereka sekeluarga termasuk ibu, Jamilah Ismail, 54, menerima ketentuan Ilahi, namun sukar melupakan arwah.
“Setiap Jumaat bapa mesti ziarah pusara abang Tanah Perkuburan Islam Kampung Jerung di sini. Kami juga membaca al-Quran dan berdoa untuk arwah,” katanya.
Ujar Norhikmah, kesedihan ibu bapanya sedikit terubat dengan kelahiran anak lelakinya 60 hari selepas kematian abangnya.
“Saya dan suami, memilih untuk terus tinggal di sini bagi membolehkan ibu dan ayah rapat dengan cucu mereka,” katanya.














