fbpx
Selepas mendapat HIV, Iwan masih aktif melakukan aktiviti songsang. – Gambar hiasan

‘Saya kena HIV, orang lain juga mesti rasai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APA yang berlaku sekitar sedekad lalu benar-benar memberi tamparan kepada Iwan (bukan nama sebenar).

Menurut anak muda kelahiran Bukit Rambai, Melaka itu, perjalanan hidupnya berubah 360 darjah tatkala diuji penyakit yang paling digeruni ramai, HIV.

Akui pemuda berusia 30 tahun yang juga merupakan seorang gay itu, kehidupannya dipenuhi dengan noda dan dosa-dosa lampau dek kerana terjerumus dalam kehidupan songsang sejak berusia 15 tahun.

“Saya berasal daripada keluarga bermasalah dan ibu bapa juga telah lama berpisah sejak saya berusia lima tahun.

“Sejak itu, saya bagaikan hidup dengan dunia sendiri dan tidak begitu rapat dengan kedua-dua orang tua,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

Meneruskan perkongsian, usai tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mengambil keputusan berhijrah ke ibu kota dan bekerja di sana.

Katanya, kerja pertama yang didapati ketika itu adalah sebagai seorang juruterapi di sebuah pusat urutan terkenal di Bukit Bintang.

“Saya diterima kerja sebagai juruterapi kerana ada kemahiran ke arah itu (mengurut). Lagipun khidmat itu tidak memerlukan saya untuk membawa masalah kerja pulang ke rumah dan bukanlah begitu memenatkan.

“Saya pula memang ada asas mengurut kerana nenek di kampung juga merupakan bidan dan tukang urut di kampung,” katanya.

Akui Iwan lagi, bertitik tolak dengan pekerjaan pertama itu, dia mula mengenali ramai orang termasuk mereka yang daripada golongan kenamaan.

Dia juga memberitahu, ramai dalam kalangan pelanggannya sentiasa memuji teknik urutan yang ditawarkannya selain ‘meminta’ servis tambahan daripadanya.

“Saya jenis tak pernah tolak pelanggan walau apa pun latar belakang atau status mereka. Selagi mereka mahukan perkhidmatan, saya akan berikan urutan yang terbaik.

“Begitu juga dengan servis ‘tambahan’ daripada pelanggan sesama jantina, saya juga tidak pernah menolak kerana pendapatan yang saya perolehi juga amat lumayan tidak termasuk tip atau wang tambahan lain,” katanya.

Pernah bekerja sebagai juruterapi urut di sebuah pusat urut di ibu kota yang melakukan ‘kerja-kerja songsang’, di situlah berpuncanya Iwan mendapat HIV. – Gambar hiasan

Selang tiga tahun bergelumang dengan nikmat dan perbuatan songsang di sebalik kerja hakiki yang dilakukan, Iwan kerap jatuh sakit dan didiagnosis dengan penyakit jangkitan virus kurang imun (HIV).

Beritahu Iwan, keputusan tersebut langsung tidak mengejutkannya kerana dia tahu dirinya begitu aktif dengan seks songsang dan boleh dikatakan setiap hari melakukan seks.

“Bila saya dapat tahu, saya biasa sahaja. Tapi sesalan itu tetap ada, saya rasakan Tuhan selayaknya beri ujian tersebut kerana dosa lampau yang dilakukan.

“Pada awalnya saya memang malas dan enggan mendapatkan rawatan sampai ke tahap sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS). Masuk bulan keenam dijangkiti HIV, barulah saya nekad ambil rawatan.

“Enam bulan pertama dijangkiti, saya masih lagi aktif lakukan seks songsang bersama pelanggan tempat saya kerja dan adakalanya sampai ke rumah.

“Ketika awal-awal itu, saya rasakan semua orang juga ‘layak’ untuk menerima ‘balasan’ apa yang saya dapat dan rasa.

“Jadi, saya rahsiakan status kesihatan dan lakukan hubungan tersebut tanpa memakai alat perlindungan.

“Ada beberapa kenalan yang saya rapat dan kenal dalam kalangan pelanggan turut terkena jangkitan penyakit yang saya alami. Cumanya mereka tidak tahu sayalah puncanya,” katanya.

Jelas Iwan, dia ketika itu lebih kepada mahu semua orang yang melakukan hubungan songsang bersamanya turut merasakan apa yang dirasakan dan baginya, itu adil bagi semua.

Hingga ke saat ini, Iwan masih lagi dalam rawatan perubatan. Dia mengakui kini terbit juga rasa sesal dengan perbuatan ‘pentingkan’ dirinya itu hingga menyebabkan orang lain juga terjebak dengan penyakitnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN