fbpx
AYU tidak menyangka anaknya berkawan dengan roh kanak-kanak yang mati dalam kebakaran pada tahun 1950-an. – Ilustrasi Shah Hasan

Anak selalu cakap seorang, rupanya didampingi ‘sesuatu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK berpindah ke kawasan kampung di daerah Jerantut, Pahang, Ayu (bukan nama sebenar) risau dengan perkembangan sosial anaknya.

Setelah lapan tahun membesar di kawasan pangsapuri di Kuala Lumpur, kini anak tunggalnya perlu menyesuaikan diri dengan ragam anak-anak kampung.

Mereka terpaksa pindah ke kampung itu kerana tuntutan kerja suaminya yang merupakan seorang kakitangan kerajaan.

Menurut Ayu, anak lelakinya yang bernama Adam (bukan nama sebenar) menjadi pendiam kerana terlalu rindu dengan rakan-rakannya di ibu kota.

“Di bandar, Adam banyak menghabiskan masa dengan rakan-rakan sekolah yang datang ke rumah untuk bermain permainan video.

“Sementara di kampung pula, dia terpaksa menyesuaikan diri dengan kerenah anak kampung yang bebas bermain di luar rumah,” katanya.

Namun pada suatu hari, Adam menunjukkan perubahan tingkah laku apabila dia tiba-tiba kelihatan ceria dan bersemangat untuk keluar bermain.

Bagi Ayu, perubahan itu merupakan petanda positif bahawa anaknya sudah mampu menerima hakikat bahawa mereka kini tinggal di kawasan kampung.

Tidak mengesyaki apa-apa, Ayu menganggap rakan baharu Adam adalah salah seorang anak jiran di kampung itu kerana mereka sering bermain dalam kumpulan.

“Di kampung, semua orang saling mengenali. Jadi, saya tidak kisah dengan siapa dia berkawan.

“Namun, saya perasan dia rapat dengan salah seorang budak. Mereka selalu berdua, walaupun bergerak dalam kumpulan,” katanya.

Ayu mula mengesyaki ada sesuatu yang pelik apabila Adam sering bercakap seorang diri apabila berada di dalam biliknya.

Perbualan rancak anaknya itu kadangkala berlaku sehingga waktu tengah malam, sekali gus menyebabkan Ayu rasa tidak sedap hati.

Setelah disoal, Adam berkongsi bahawa rakannya, Arjuna mengikut dia pulang ke rumah sejak beberapa hari lalu kerana kediamannya terbakar.

Mengetahui hal tersebut, Ayu sangat terkejut dan segera berjumpa dengan orang kampung untuk bertanyakan soal anak kecil bernama Arjuna.

“Saya tak mahu takutkan Adam, kalau saya buat tindakan melulu. Jadi, saya ambil inisiatif bertanya dengan orang kampung terlebih dahulu.

“Tapi apabila saya sebut nama Arjuna, orang kampung saling memandang antara satu sama lain dan mula berbisik-bisik,” jelasnya.

Mengikut cerita orang lama di kampung, Arjuna merupakan salah seorang daripada enam sekeluarga yang meninggal dalam kebakaran pada tahun 1950-an.

Sememangnya kisah tentang kematian keluarga Arjuna itu menjadi cerita turun-temurun, tetapi tidak ada sesiapa pernah diganggu roh kanak-kanak tersebut.

Rupanya anak-anak kampung juga perasan Adam sering bercakap seorang diri, tetapi mereka menganggap perangai pelik itu biasa kepada anak bandar.

Tidak mahu melengahkan masa, Ayu mendedahkan bahawa dia segera meminta tolong ustaz untuk membantu memulihkan kembali anaknya itu.

“Saya panggil ustaz untuk ubat anak saya. Ustaz kata, Arjuna berdamping dengan Adam kerana dia melihat Adam kesunyian dan sama sepertinya.

“Namun ustaz kata, saya tak perlu khuatir kerana mereka telah ‘dipisahkan’ dengan bacaan ayat al-Quran,” jelasnya.

Kini, Adam sudah pulih dan Ayu juga mula terlibat dalam mengenali rakan-rakan anaknya bagi memastikan perkara sama tidak berulang lagi pada masa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN