KEBELAKANGAN ini kisah-kisah atlet negara kita mendapat perhatian ramai sempena Olimpik di Paris yang baru sahaja berakhir.
Ramai gembira meraikan kejayaan pemain badminton, Lee Zii Jia dan pasangan beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya membawa pulang pingat gangsa.
Bagaimanapun, pemain badminton negara, Zii Jia meluahkan kebimbangannya terhadap kecaman dan berita yang kurang enak mengenai dirinya dan atlet lain di media sosial terutama apabila menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan.
Tidak cukup dengan itu, netizen-netizen Malaysia pula bangga apabila menyerang akaun Instagram pelumba basikal Jepun, Shinji Nakano selepas insiden perlanggaran pada final acara keirin di sukan antarabangsa tersebut.
Kelakuan sesetengah pengguna media sosial ini turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang mengatakan komen yang dikeluarkan oleh warganet terhadap para atlet di media sosial boleh dianggap buli siber sekiranya memberi kesan ke atas mental mereka.
Beliau dilaporkan berkata, individu yang mengeluarkan komen agak kasar terhadap para atlet ini ada yang menggunakan akaun palsu.
“Ada sejumlah tindakan buli siber ini pelakunya berselindung di sebalik akaun palsu dan tindakan oleh platform media sosial tidak berkesan untuk mengekang kegiatan akaun palsu,” katanya.
Memetik perkongsian Pendakwah, Ustaz Ahmad Fuad Mokhtar berkata, budaya membuli berlaku apabila wujud perbezaan dua idea, malah lebih teruk apabila banyak fitnah timbul dengan penggunaan telefon bimbit.
“Budaya buli siber ini ia akan menjadi satu budaya yang agak panjang, sebab kita melihat penggunaan internet yang sangat kerap. Jadi kalau kita tidak boleh hendak bercakap dalam keadaan yang memberikan pecahan kepada idea, jangan kita lakukan buli siber ini.
“Kalau kita tidak mahu dibuli pula, jagalah akhlak dan adab kita. Segala akaun media sosial kita ini adalah ‘resume’ kita, siapa yang jaga betul-betul, insya-Allah dekat situ akan jadi lubuk rezeki yang sangat baik. Oleh kerana itu, jaga setiap perkataan kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, beberapa individu yang melakukan buli siber kemungkinan besar mempunyai isu kesihatan mental.
“Pelaku buli siber itu sendiri mungkin tidak diklasifikasikan sebagai masalah kesihatan mental, tetapi jika dia bertindak keterlaluan, membuli tanpa empati, mengganggu privasi sehingga meninggal kesan pada mangsanya, kemungkinan dia ada isu kesihatan mental.
“Mangsa buli siber sering menderita anxiety, depresi dan isu psikologi lain, manakala pelaku buli pula yang berulang mungkin memiliki masalah psikologi yang perlu diatasi seperti rasa rendah diri, depresi atau ada masalah pengurusan kemarahan,” ujarnya.
Justeru itu, sebelum menulis apa-apa komen, fikirlah sejenak. Kata-kata yang menyakitkan hati ini boleh menghantui seseorang itu selama bertahun-tahun lamanya.















