DEKORASI kelas bukan sahaja dapat mencantikkan ruangan, bahkan ia memiliki impak yang signifikan terhadap proses pembelajaran para pelajar.
Kelas yang memiliki nilai estetik dapat menimbulkan suasana selesa dan nyaman ketika belajar, sekali gus meningkatkan motivasi pelajar serta guru semaksimum mungkin.
Selain itu, dekorasi kelas mampu membentuk karakter pelajar menerusi disiplin apabila mereka perlu memastikan kebersihan dan kekemasan berkekalan.
Disebabkan itu, seorang guru, Muhammad Za Fauzan Husin mendedikasikan masanya untuk menata rias kelas di bawah jagaannya.
“Saya merupakan guru kelas tingkatan 2 Baiduri di Sekolah Menengah Kebangsaan Rapat Setia, Ipoh (Perak).
“Sebelum ini, terdapat beberapa artikel mengenai pengaruh tatarias kelas terhadap kecenderungan prestasi cemerlang pelajar.
“Oleh itu, saya memilih untuk melakukan projek tatarias ini bersama pelajar-pelajar saya,” katanya.
Menjenguk ke kelas berkeluasan sekitar 55.5 meter persegi itu, ruang berkenaan dihias dengan berkonsepkan minimalis.
Penggunaan warna dasar seperti putih, kelabu dan hitam memberikan kesan bersih serta moden.
Pemilihan tersebut juga secara tidak langsung memberi imej sederhana serta tampak rapi apabila dilihat.

di atasnya.
Menurut guru yang mesra disapa Fauzan itu, dia turut memanfaatkan material kayu dan tumbuhan hias untuk menambahkan lagi seri bilik darjahnya.
“Saya menggunakan konsep minimalis dengan mengoptimumkan penggunaan ruang untuk mencipta zon belajar yang selesa.
“Saya juga memastikan ruang gerak yang cukup dengan menggunakan sistem penyimpanan yang efisien.
“Saya memfokuskan untuk menambah elemen fokus pada dinding dan menggunakan alas lantai untuk keselesaan pelajar,” jelasnya.
Mengulas berkenaan sumber inspirasi, Fauzan yang berpengalaman selama sedekad sebagai guru berkata, dia mendapat ilham daripada pelbagai medium seperti majalah, televisyen dan internet.
Seterusnya, konsep ‘kelas sebagai rumah kedua bagi murid’ juga menjadi motivasi buat Fauzan, selain turut disokong oleh ibu bapa pelajar.
“Anggaran kos dekorasi bilik darjah saya adalah sekitar RM1,500 hasil daripada pembiayaan sendiri serta sumbangan ibu bapa.
“Rata-rata ibu bapa ingin bersama-sama mencantikkan dan menceriakan ruang belajar anak-anak mereka.
“Waktu yang diperlukan untuk menyelesaikan dekorasi kelas adalah sekitar satu hingga dua bulan.
“Hasilnya amat memuaskan dan ia telah berjaya menceriakan hati semua pihak,” ujarnya.














