PUTRAJAYA – Rata-rata rakyat Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK) terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan berkurung di dalam rumah susulan siri protes yang berlaku di negara itu ketika ini.
Difahamkan, tindakan kekal di kediaman masing-masing itu diambil susulan nasihat dikeluarkan media tempatan yang meminta orang ramai untuk mengelak lokasi konflik.
Seorang rakyat Malaysia di Manchester, Nurina Amanina Dania Mohd. Idrus, 26, berkata, keadaan di beberapa lokasi sekitar bandar raya itu disifatkan terkawal meskipun ada beberapa siri protes agresif dibuat rakyat tempatan.
“Siri protes itu dilihat agak agresif, tetapi sebenarnya ia masih dalam kawalan.
“Secara umumnya, bagi setiap lokasi yang ada keberangkalian berlakunya protes, pihak berkuasa juga akan berjaga-jaga di situ dan keadaan lebih terkawal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut Nurina yang berkhidmat dengan National Health Service UK itu, rata-rata rakyat negara ini yang berada di sana juga saling mengingati untuk berjaga-jaga antara satu sama lain untuk menjaga keselamatan.
“Jujurnya, saya memang jarang keluar rumah sejak protes itu berlaku dan hanya keluar bila perlu contohnya, jika mahu beli barang keperluan. Malah, kalau keluar pun akan tunggu suami pulang kerja untuk pergi bersama-sama.
“Saya juga tidak mengunjungi taman awam seperti sebelum ini untuk beriadah selain hanya menggunakan perkhidmatan Uber dan hanya ke lokasi yang ramai orang untuk mengelakkan kejadian tidak diingini,” ujarnya.
Sementara itu, berkongsi perasaan, seorang lagi rakyat Malaysia yang menetap di Manchester, Hakim Rosman, 27, memberitahu dia sedikit gementar apabila melihat pihak berkuasa mula berkawal di lokasi panas protes.
“Sebenarnya agak takut kerana kami merasakan ada keberangkalian untuk sesuatu perkara tidak diingini berlaku.
“Jika diimbas, pada 3 Ogos lalu, saya tidak tahu ada protes di kawasan bandar kerana semuanya nampak biasa, tetapi bila mengetahui hal itu, kami lebih banyak duduk di rumah,” jelasnya.

Berkongsi cerita sama, seorang pelajar Malaysia di Coventry, Hakim Rahman, 36, berkata, mereka terus mengambil langkah berjaga-jaga dan mengurangkan aktiviti ke kawasan berisiko.
“Memandangkan Coventry mempunyai banyak komuniti antarabangsa dan golongan dewasa bekerja, jadi protes itu kurang berlaku di sini.
“Namun, kami akan sentiasa mendengar arahan daripada Pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) di UK dan Ireland untuk mengelakkan kawasan berisiko termasuk di Birmingham,” jelasnya.














