ALOR GAJAH – Kementerian Pertahanan (Mindef) menyediakan peruntukan bernilai RM1 juta menerusi Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PUVET ATM), khusus bagi membantu 200 veteran memajukan perniagaan mereka.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, setakat ini seramai 96 usahawan telah menerima geran berjumlah RM490,000 ketika PUVET ATM diadakan di Perak, Johor dan Melaka.
Menurutnya, setiap penerima menerima wang tunai RM5,000 untuk dijadikan modal menceburi bidang perniagaan berasaskan perkhidmatan, automotif, makanan dan pertanian.
“Saya yakin sasaran 200 usahawan veteran ATM menerima bantuan ini akan dapat dicapai apabila kita pergi ke Kelantan, Terengganu dan Kedah. Tahun lalu kita hanya mencapai 100 orang, di Melaka adalah paling ramai veteran ATM menerima geran tersebut iaitu seramai 44 orang, berjumlah RM220,000.
“Saya lihat ramai veteran ATM terlibat dalam bidang keusahawanan dan PUVET ATM berperanan sebagai pemudah cara dan penghubung bagi mempertingkatkan lagi modal dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian PUVET ATM Melaka di A’ Famosa Resort di sini, hari ini.
Tambah Adly, kementerian juga komited mempertingkatkan usaha membantu usahawan veteran menceburi bidang perniagaan secara dalam talian memandangkan produk dikeluarkan hanya berjaya menembusi pasaran Singapura sahaja. -KOSMO! ONLINE.