KANGAR – Nilai ringgit yang semakin mengukuh berbanding Thai Baht (THB) bakal menyaksikan pertambahan jumlah pelancong Malaysia ke Thailand sepanjang tahun ini.
Presiden Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh berkata, nilai ringgit yang mengukuh itu memberi kelebihan dan menjadi ‘bonus’ buat rakyat Malaysia untuk membeli-belah di negara jiran itu pada harga lebih murah.
“Setakat bulan ini, lebih 40,000 tempahan percutian daripada rakyat Malaysia telah diperoleh dengan kawasan tumpuan adalah kota terbesar di selatan Thailand iaitu Hatyai.
“Mereka (pelancong) telah membuat tempahan sejak beberapa bulan lalu dan apabila nilai ringgit semakin mengukuh, ia adalah bonus buat mereka,” katanya di sini semalam.
Pada Selasa lalu, ringgit mencecah nilai tukaran tertinggi dalam tempoh setahun apabila mencatatkan RM1 bersamaan 8.02 THB.
Mengulas lanjut, Aida menjelaskan, kenaikan ringgit tidak memberi kesan negatif kepada pelancongan Thailand, malah mereka menantikan kenaikan nilai mata wang negara sejak lebih 10 tahun lalu.
“Kami sebagai operator dan pengusaha pelancongan sememangnya gembira kerana apabila nilai ringgit semakin meninggi, penduduk tempatan akan mendapat tempias ekonomi daripada sektor pelancongan.
“Sebenarnya, pelancong tidak kisah sama ada nilai mata wang naik atau jatuh kerana mereka telah lama merancang untuk melancong ke negara ini dan telah membuat bajet perbelanjaan lebih awal,” jelasnya.
Kata Aida lagi, sekiranya ringgit terus meningkat dalam satu tempoh yang panjang, ia akan mencetuskan gelombang pelancong Malaysia yang luar biasa.
“Tempahan hotel pada bulan September juga hampir penuh terutama di wilayah Songkhla dan Narathiwat. Jika ringgit terus mengukuh, tidak mustahil hotel atau penginapan di wilayah berjiran seperti Pattani, Yala dan Satun juga mendapat tempahan.
“Kehadiran pelancong di sini secara tidak langsung akan membantu penduduk dan pengusaha pelancongan di sini,” katanya.














