SEKITAR lima tahun lalu, nama wanita tinggi lampai berkulit putih ini pernah tular dalam laman sosial, sekali gus ‘menuai’ perhatian warganet.
Manakan tidak, jika Mat Dan atau Daniel Tyler dikenali dek kerana fasih bertutur dialek Terengganu, Rita Kalsom Rafi yang berasal dari United Kingdom (UK) pula mampu bercakap dalam loghat Pulau Pinang.
Disebabkan itu, dia tular dan mula dikenali pengguna media sosial yang kagum dengan caranya bertutur.
Mendekati wanita berketinggian 173 sentimeter ini, dia yang mesra disapa sebagai Rita dalam kalangan ahli keluarga dan rakan terdekat tidak pernah menyangka loghat pertuturannya telah mengubah coretan hidupnya.
“Ibu saya, Che Nu Buang, 73, sebenarnya berasal dari Kampung Perlis, Balik Pulau, Pulau Pinang. Dia telah berkahwin dengan warganegara UK serta dikurniakan tiga orang anak.
“Bukan hanya saya, dua lagi adik-beradik iaitu Yusef dan Nadia juga amat fasih bertutur dalam loghat utara.
“Kami lebih gemar berbual dengan cara (loghat) tersebut,” katanya.
Meneruskan perkongsiannya, Rita memberitahu, dia dilahirkan di Pulau Pinang dan mendapat pendidikan awal di negeri itu sebelum berpindah ke UK pada usia 10 tahun.
Katanya, usai tamat pendidikan di peringkat ijazah, dia nekad pulang ke tanah kelahirannya untuk memulakan kerjaya dalam bidang pemasaran di syarikat korporat selama lebih enam tahun.
“Ketika kecil, setiap kali pulang ke Malaysia, banyak perkara saya hendak ceritakan kepada nenek, namun masalahnya dia tidak faham bahasa Inggeris.
“Disebabkan itu, saya nekad untuk belajar bahasa Melayu supaya nenek boleh faham apa yang saya hendak ceritakan.
“Semangat hendak belajar itu lagi menjadi-jadi apabila saya bercakap atau bertanyakan sesuatu dengan ibu dalam bahasa Inggeris, namun dia menjawabnya dalam bahasa Melayu,” katanya.
Ujar Rita, selepas video memaparkan dia rancak bertutur dalam loghat utara itu tular, ramai ingin mengenali dirinya dengan menambah kenalan di Facebook.

Katanya, video tersebut dirakam jiran tanpa diketahuinya pada Hari Raya Aidilfitri lima tahun lalu ketika sedang beraya dan menikmati suasana hari kemenangan umat Islam itu.
“Jujur saya katakan, jiwa dan minat saya ada di Malaysia iaitu tempat saya dilahirkan.
“Saya gemar makanan tempatan terutama menu wajib pada Aidilfitri iaitu lemang, rendang dan ketupat, selain ayam masak merah.
“Pulau Pinang begitu dekat dengan hati saya, lebih-lebih lagi selepas saya pandai bertutur dalam bahasa Melayu dan menguasai loghat negeri itu,” katanya.
Ditanya sama ada dia bangga atau tidak menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi harian, dia yang kini bertugas sebagai jurulatih kesihatan sejak beberapa tahun lalu mengakui, sangat berbangga dapat melakukan perkara itu.
“Saya bangga dapat menggunakan bahasa Melayu sebagai komunikasi harian kerana ia merupakan sebahagian daripada warisan dan keturunan saya.
“Bahasa Melayu merupakan bahasa yang mudah difahami oleh semua golongan masyarakat dan peringkat umur. Kita patut bangga dengan bahasa sendiri.
“Saya juga pernah mempelajari bahasa lain seperti bahasa Jepun ketika menjadi guru bahasa Inggeris di negara Matahari Terbit itu pada 2004 hingga 2006 lalu.
“Namun, bahasa Melayu tetap menjadi keutamaan dan mempunyai nilai tersendiri,” katanya.
Ditebak mengapa dia menukar kerjaya daripada dunia korporat kepada bidang kesihatan dan aktif memuat naik video kandungan berkaitan kecergasan, Rita berkata, dia memang menggemari aktiviti sihat.
Disebabkan itu, dia nekad mengambil keputusan berhenti kerja untuk memberi fokus kepada kerjaya sebagai jurulatih.
“Selepas hampir enam tahun bekerja dalam dunia korporat, saya ambil keputusan berhenti dan pulang ke UK untuk mengambil sijil jurulatih kecergasan.
“Alhamdulillah, saya lulus dan kini bergelar jurulatih kecergasan, guru yoga serta jurulatih pemakanan dan gaya hidup secara sepenuh masa,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan dan hala tuju, Rita memberitahu, dia sangat berharap perniagaannya berkenaan kecergasan dan gaya hidup berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
“Saya mungkin akan kurangkan khidmat sebagai jurulatih dan memberi lebih fokus kepada konsultasi program corporate wellness yang saya perkenalkan sebelum ini.
“Saya juga ingin tumpukan perhatian kepada bidang penulisan dan penerbitan seperti buku masakan sihat, sekali gus dapat berkongsi manfaat dengan ramai orang,” katanya.
Menutup perkongsian, Rita mengingatkan orang ramai bahawa tiada sebarang jalan pantas untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Pesannya, kelilingi diri dengan komuniti yang mampu memberi sokongan untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
“Dapatkan nasihat profesional jika anda memerlukan bantuan dan akauntabiliti,” katanya.














