PETALING JAYA – Sindiket penjualan sijil akademik palsu kini semakin berani apabila secara terang-terangan mempromosikan kegiatan mereka di media sosial dengan tawaran harga serendah RM1,500 hingga RM4,000.
Kegiatan tersebut yang menggunakan platform Instagram dan Facebook turut menyasarkan individu yang terdesak ‘memiliki’ kelayakan akademik bagi tujuan mencari pekerjaan.
Lebih membimbangkan apabila sindiket terbabit berani menyamar dan berselindung dengan nama tertentu kononnya berada di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semata-mata untuk mengaburi orang awam dan pihak berkuasa.
Wartawan Kosmo! yang berjaya menghubungi sindiket berkenaan mendapati mereka menawarkan pelbagai jenis sijil akademik sama ada pendidikan peringkat rendah mahupun universiti.
Antara yang ditawarkan adalah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada harga RM1,500, diploma (RM1,800), ijazah (RM2,500) serta sijil ijazah doktor falsafah (PHD) yang berharga RM4,000.
Selain tawaran harga yang dianggap murah, sindiket juga memberikan jaminan bahawa nama serta maklumat pemohon yang terdapat dalam sijil berkenaan akan dimasukkan dalam rekod KPM dan universiti yang didaftarkan.
Berdasarkan tarikh hantaran pertama di akaun media sosial itu, sindiket terbabit dipercayai telah beroperasi sejak Ogos tahun lalu.

Menurut seorang ahli sindiket berkenaan, harga yang ditawarkan adalah berbeza-beza berdasarkan sijil yang dimohon oleh individu yang berminat.
“Pemohon akan diberikan satu pautan ke WhatsApp selain disediakan beberapa testimoni sebelum pemohon diberikan keterangan dan harga sijil yang ditawarkan.
“Paling murah adalah sijil SPM iaitu RM1,500, manakala harga bagi sijil PHD pula hanyalah RM4,000,” katanya kepada wartawan Kosmo! baru-baru ini.
Jelasnya, pemohon kemudian akan diminta untuk mengisi borang permohonan salinan keputusan peperiksaan atau boleh memberikan maklumat secara manual untuk proses penghasilan sijil.
“Kesemua maklumat akan diproses dan individu boleh membuat semakan dalam sistem KPM melalui laman sesawang selepas didaftarkan.
“Sijil dijamin ‘valid’ (sah) dan pengesahan ini yang penting supaya individu boleh menggunakannya untuk mencari kerja,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, penghasilan sijil akademik itu memakan masa antara empat hingga tujuh hari dan apabila siap, ia akan dihantar kepada pemohon menggunakan kurier.
“Proses buat sijil ini bergantung kepada jenis. Kebiasaannya untuk pendidikan tinggi memang ambil masa. Namun, kebanyakan pemohon lebih berminat mendapatkan sijil SPM.
“Ada juga permohonan untuk sijil kemahiran dan berkaitan Lembaga Pembangunan Industri (CIDB), tetapi jumlahnya tidak banyak,” katanya.
Terdahulu, kes penipuan dan penjualan sijil akademik pernah menggegarkan negara pada sekitar tahun 2018 apabila tiga lelaki termasuk seorang warga India ditahan bagi membantu siasatan berhubung sindiket yang menawarkan pakej lengkap sijil akademik palsu menggunakan nama institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).














