fbpx
Keenakan durian yang turut mengamit peminat dari luar negara.

‘Ada juga harga yang turun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ketika zaman populariti musang king dahulu, durian kayangan itu dijual pada harga yang mahal. Harganya bermula RM50 sekilogram bagi gred C dan B, manakala gred A melebihi RM100.

Ramai yang tergila-gilakan musang king kerana isinya kuning keemasan, lebih tebal, ditambah rasa lemak yang sedikit pahit dan bijinya pula kecil berbanding durian lain.

Bukan sahaja penggemar durian tempatan, malah orang luar terutama dari China turut meminati musang king Malaysia sehingga raja buah itu dieksport ke luar negara.

Ekoran permintaan tinggi dan harganya mahal, ramai mahu jadi tauke musang king. Mereka menebang pokok-pokok lain dan ditanam semula dengan pokok durian itu.

Ada juga yang membeli atau memajak tanah semata-mata untuk menanam pokok musang king.

Mereka yakin ia sebagai satu pelaburan menguntungkan meskipun kos penjagaannya tinggi. Bagi tanah seluas 1.6 hektar, kos penjagaan termasuk upah pekerja lebih RM1,000 sebulan.

Sepanjang tempoh sehingga pokok mengeluarkan hasil seawal empat tahun, pekebun perlu mengeluarkan belanja lebih RM48,000 tanpa sebarang hasil lagi.

Sebaik pokok mengeluarkan hasil, ada pekebun yang memaklumkan mereka boleh mendapat pulangan modal dan keuntungan dalam tempoh singkat sahaja.

Ketika itu harga musang king bermula RM50 sekilogram, sekarang buah ini boleh dibeli pada harga RM20 sekilogram sahaja bagi gred C, manakala gred A ada yang tidak sampai RM50, malah ada yang jual longgok.

Penurunan harga antaranya disebabkan ‘lahir’ banyak durian jenis lain yang mampu mengalahkan kehebatan musang king.

Antaranya duri hitam dan tupai king yang menjadi kegilaan ramai biarpun harganya lebih mahal berbanding musang king.

Durian kampung seperti damak king, tembaga, mas hijau dan naga emas juga mula mendapat tempat di hati penggemar raja buah kerana isinya yang setanding buah premium, namun harganya lebih ‘rahmah’.

Disebabkan itu, permintaan musang king tidaklah sekencang dahulu. Generasi muda pada masa kini pun tidak begitu menggemari durian berbanding generasi lama. Mereka tidak diajar sejak kecil untuk makan durian kerana harganya yang mahal.

Bekalan musang king juga dijangka semakin banyak apabila ramai yang menanam pokok buah tersebut. Duri hitam dan tupai king pun akan mengalami penurunan harga beberapa tahun lagi apabila situasi sama berlaku, tambahan pula apabila musim buah menjadi.

Bagusnya, durian kayangan mungkin akan menjadi ‘durian rahmah’ yang boleh dinikmati oleh semua orang. Durian banyak, harga runtuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN