fbpx
Gerung belang dan GT antara spesies game fish bagi kaki pancing.

K2

Jinakkan gerung belang pantai Bagan Lalang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAWASAN pesisir Pantai Barat sememangnya menjadi antara lokasi tumpuan bagi kaki pancing yang tinggal di sekitar Lembah Klang untuk melepaskan ‘gian’ mereka.

Selain perairan di sekitar Klang, antara ‘port’ lain yang kerap dikunjungi para kaki pancing adalah di sekitar kawasan pantai Bagan Lalang dalam daerah Sepang, Selangor.

Disebabkan lokasinya yang terletak kira-kira 70 kilometer atau hanya sejam pemanduan dari Kuala Lumpur, ia merupakan ‘port’ yang mudah untuk dikunjungi tanpa perlu bermalam.

Atas dasar itulah, seorang kaki pancing, Norshahreen Mohd. Norizan, 41, menjadikan perairan Bagan Lalang sebagai tempat untuknya melunaskan hobi memancingnya bersama rakan-rakan terutama pada hujung minggu.

Dia yang berasal dari Melaka dan kini menetap di Shah Alam, Selangor berkata, kawasan perairan itu yang mempunyai karang dan berbatu sememangnya menjadi tempat ‘permainan’ pelbagai spesies ikan.

“Biasanya kalau saya dan rakan-rakan ‘turun’ ke Bagan Lalang, kami akan memburu beberapa spesies ikan seperti kerapu, jenahak, GT (giant travelly), talang dan gerut-gerut.

“Tetapi pada trip memancing baru-baru ini, saya dan dua lagi rakan, Muhammad Amirul Zariq Khalid dan Ahmad Nizam Abdullah berjaya menaikkan spesies ikan istimewa iaitu ikan gerung belang seberat 5.5 kilogram.

NORSHAHREEN (kiri) dan dua rakannya menunjukkan hasil pancingan mereka di pantai Bagan Lalang, Selangor baru-baru ini.

“Ikan gerung belang adalah daripada keluarga travelly dan menjadi antara idaman kaki pancing kerana ia antara spesies game fish,” katanya.

Menurut Norshahreen, ikan gerung belang merupakan antara spesies yang banyak terdapat di kawasan pesisir pantai dan kawasan pulau di

Laut China Selatan dan ia sukar untuk ditemui di kawasan perairan Pantai Barat.

Gerung belang dikategorikan sebagai game fish disebabkan kekuatannya yang luar biasa ketika melarikan umpan selain renangannya yang liar membuat pemancing sukar untuk meneka spesies ikan yang membaham umpan mereka.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai trip memancing di pantai Bagan Lalang itu, Norshahreen berkata, disebabkan kawasan berkenaan mempunyai tukun dan berkarang, maka set joran yang sesuai perlu digunakan.

Ia termasuklah penggunaan tali utama yang lebih kasar iaitu antara 25 paun hingga 40 paun, selain batang joran berketahanan tinggi bagi memudahkan pemancing menjinakkan ikan selepas umpan dibaham.

“Kawasan pesisir pantai di sini banyak kawasan tukun, berkarang dan tiang-tiang di kawasan jambatan serta boya. Kawasan yang berstruktur seperti ini merupakan kawasan ikan bermain dan berlindung.

“Bagaimanapun, memancing di kawasan seperti ini sangat mencabar kerana risiko tali leader putus akibat bergesel dengan struktur yang tajam sama ada karang, batu atau tiang jambatan adalah tinggi.

“Selain itu, umpan tiruan jenis jig juga mudah tersangkut pada struktur seperti ini dan tindakan memutuskan tali adalah jalan terakhir yang perlu dilakukan jika keadaan seperti itu berlaku,” katanya.

Menurutnya lagi, disebabkan pelbagai cabaran yang tersedia ketika memancing di kawasan berkenaan, maka setiap pemancing harus mempunyai skil tersendiri terutama bagi mengawal pergerakan ikan agar tidak masuk ke kawasan berstruktur terutama tiang jambatan.

Bercakap mengenai umpan pula, kata Norshahreen, kebiasaannya dia dan rakan-rakannya akan menggunakan umpan tiruan jenis jig dengan berat antara 20 gram (g) hingga 40g.

Saiz berkenaan katanya, sangat sesuai untuk kawasan perairan Bagan Lalang yang mempunyai arus tidak terlalu kuat, selain sesuai untuk teknik pancingan fast jigging dan slow jigging.

“Umpan jenis jig biasanya digunakan bagi teknik fast jigging untuk memburu spesies ikan pelagik seperti GT, gerong belang dan talang.

“Teknik slow jigging digunakan bagi memikat spesies ikan bersisik seperti jenahak, kerapu dan gerut-gerut.

“Selain itu, kami juga menggunakan umpan udang hidup sebagai alternatif sekiranya umpan jenis jig gagal menarik minat ikan membahamnya,” ujarnya.

Tambahnya, dengan kadar sewaan bot sekitar RM300 bagi tempoh antara 8 pagi hingga 6 petang, ia dirasakan sangat berbaloi.

Malah katanya, pada trip memancing di Bagan Lalang baru-baru ini, dia dan rakan-rakannya berjaya menaikkan kira-kira 15 ekor ikan pelbagai spesies dan dibahagi sama rata untuk dibawa pulang bagi dijadikan hidangan seisi keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN