fbpx
Setiap amalan yang dilakukan oleh umat Islam harus dimulakan dengan niat. – Gambar hiasan

K2

Merenung makna hijrah melalui niat dan keazaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SABAN tahun, kita menyambut Maal Hijrah bersempena masuknya tahun baharu Islam.

Pelbagai perbahasan telah dibincangkan oleh para ilmuwan tentang hijrah, namun apa yang perlu direnungi adalah maksud dan tujuan sambutan itu diadakan.

Ia bukan sekadar memperingati peristiwa bersejarah hijrah Nabi Muhammad dan para sahabat ke bumi Yathrib. Sebaliknya, penghijrahan itu sendiri sarat dengan pengajaran dan panduan yang bermakna.

Kemahuan untuk berhijrah memerlukan suatu tekad, keazaman dan pengorbanan yang tinggi.

Bayangkan, umat Islam di kala itu perlu meninggalkan tanah air, mungkin selamanya tanpa mengetahui bila akan kembali serta meninggalkan harta benda, ahli keluarga dan sahabat.

Perjalanan hijrah itu pula tidak mudah, terpaksa keluar secara bersembunyi dibimbangi ditangkap dan dihalang musyrikin Mekah. Perlu pula melalui permusafiran panjang di padang pasir yang panas dan mencabar.

Sudahlah begitu, Yathrib yang menjadi tempat tujuan belum diketahui keadaannya.

Di mana tempat mereka mahu tinggal, bagaimana mahu menyara hidup di tanah asing dan bagaimana pula penerimaan penduduk di sana?

Oleh itu, keputusan untuk keluar berhijrah bukan suatu yang mudah, apatah lagi jika difikirkan persoalan-persoalan di atas.

Nabi SAW maklum tentang hal ini, maka Baginda memberikan pesan yang jelas, mengandungi sisi iman, ikhlas dan tawakal kepada Allah SWT dalam hadis yang bermaksud: Dari Abu Hafs ‘Umar bin al-Khattab RA, katanya: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya segala amalan itu bermula dari niat dan sesungguhnya bagi setiap orang itu (ia akan memperolehi berdasarkan) untuk apa diniatkannya. Maka, barang siapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah untuk Allah dan Rasul-Nya.

Dan sesiapa hijrahnya untuk dunia, maka ia maksudnya itu akan terpenuhi atau kerana seorang wanita, maka ia akan mengahwininya. Oleh yang demikian hijrahnya adalah berdasarkan kepada maksud apa hijrah itu dilakukan.”

Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di permulaan kitabnya Sahih al-Bukhari, di kitab al-Iman dan di lima tempat lain di dalam Sahihnya.

Imam Muslim meletakkan hadis ini di kitab al-Imarah dalam Sahih Muslim, manakala Imam Abu Daud di kitab al-Talaq di dalam Sunan Abu Daud.

Imam al-Tirmidhi meriwayatkan hadis ini di kitab Fadhail Jihad di dalam Sunan al-Tirmidhi, Imam Ibnu Majah di kitab al-Zuhd, di dalam Sunan

Ibnu Majah manakala Imam al-Nasaie di kitab al-Taharah di dalam Sunan al-Nasaie.

Hadis ini juga diriwayatkan di dalam Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, al-Daraqutni, Ibnu Hibban dan al-Bayhaqi.

Para ulama meletakkan hadis ini di kedudukan yang tinggi dan penting kerana memperingatkan umat Islam untuk memperbetulkan niat semata-mata demi reda Allah.

Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Nabi SAW berkhutbah dengan hadis ini dan ia diikuti juga oleh Saidina ‘Umar yang juga berkhutbah dengannya.

Imam al-Syafi’i dan Imam Ahmad menjelaskan maksud, ‘amalan itu bermula dengan niat’ adalah sepertiga daripada ilmu. Ini kerana, amalan seorang hamba dilihat kepada tiga aspek iaitu hati, lidah dan anggota.

Niat adalah dengan hati dan ia merupakan salah satu daripada tiga bahagian tersebut.

Oleh sebab itu, para ulama suka memulakan kitab dan karangan mereka dengan hadis ini seperti dilakukan oleh Imam al-Bukhari.

Hal yang sama dilakukan oleh Imam al-Nawawi yang memulakan ketiga-tiga kitabnya iaitu Riyadh al-Salihin, al-Azkar dan al-Arba’in al-Nawawiyyah dengan hadis tentang niat.

Berdasarkan maksud hadis ini jugalah, maka ulama sepakat menetapkan bahawa setiap amalan ibadah mestilah dengan niat, sehingga jika adanya amalan yang dilakukan oleh mukallaf yang beriman tanpa niat, maka ia tidak diiktibarkan sebagai amalan syarak dan tidak diganjari perlakuan tersebut.

Pada aspek faedah, hadis ini berkenaan peri penting niat yang ikhlas demi Allah ketika melakukan suruhan-Nya termasuk ketika mahu keluar berhijrah.

Ia juga sebagai teguran bahawa amalan kita akan dinilai berdasarkan apa yang kita niatkan.

Dalam konteks hijrah, ia bukan sekadar ‘berpindah’ secara fizikal dari satu tempat ke lokasi yang tertentu semata-mata.

Hijrah juga sarat dengan makna ruhaniyyah, daripada iman yang kukuh di dalam hati, ikhlas melakukannya demi Allah sehingga sanggup mengorbankan apa sahaja dimiliki.

Kemahuan berkorban termasuk nyawa dan harta sendiri merupakan tingkatan paling tinggi amal insan,yang bermula dengan niat dan azam.

Oleh sebab itu, pentingnya niat kerana ia menghasilkan azam dan tekad.

Namun, kekukuhan azam bergantung pada apa yang diniatkan. Hanya niat atau tujuan kepada Allah mampu melahirkan tekad dan pengorbanan sebegitu tinggi seperti yang ditunjukkan oleh generasi sahabat berhijrah.

Dalam ibadah, niat demi Allah perlu sentiasa diperbaharui dan dijadikan sebagai permulaan setiap amalan.

Ini bermakna, azam dan tekad kita untuk menjadi lebih baik perlu sentiasa diperbaharui serta tidak rasa selesa dengan keadaan sedia ada.

Muslim yang baik memiliki ‘kemahuan’ untuk berhijrah menjadi lebih baik sama ada sebagai hamba Allah, anak yang taat, ibu bapa penyayang, pemimpin amanah, pelajar yang tekun, pekerja berdedikasi dan lain-lain.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN