GEORGE TOWN – Seorang pengusaha restoran makanan sanggup memilih menyarungkan kostum watak adiwira Black Panther bagi menceriakan kira-kira 30 warga emas di pusat jagaan persendirian di Jalan York di sini sempena sambutan perayaan Hari Natal esok.
Wan Hafizi Wan Zakaria, 44, berkata, kehadirannya adalah sebagai penyeri serta hiburan buat tatapan warga emas terdiri pelbagai bangsa dan peringkat usia.
Menurutnya, kepuasan dapat dirasai apabila masing-masing mereka terutama yang uzur melemparkan senyuman walaupun berada dalam keadaan tidak lagi terdaya untuk bangun dari kerusi roda.
“Saya terpanggil untuk meraikan mereka (warga emas) bersama seorang kenalan, Kenny Tan Kee Hooi yang juga penyumbang barangan keperluan di pusat jagaan ini.
“Sumbangan tersebut diberikan bagi mengurangkan bebanan pihak pengurusan kediaman ini yang menawarkan perkhidmatan penjagaan secara percuma sejak Januari tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, Kee Hooi pula berkata, sumbangan yang disalurkan itu sekurang-kurangnya membantu menambah bekalan sumber makanan untuk golongan kurang bernasib baik yang tinggal di pusat jagaan tersebut.
“Pada masa sama, mereka (pihak pengurusan dapat menyediakan masakan yang istimewa untuk disajikan kepada penghuni kediaman itu pada Hari Natal esok,” jelasnya. – K! ONLINE