fbpx
MOHAMAD RODZI (dua dari kanan) menunjukkan lokasi sebuah kilang di Mukim Pinang Tunggal, Sungai Petani yang dihenti operasi tahun lalu.

‘Sakit kulit dek kilang haram’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – “Sejak hampir lima tahun lalu, ramai penduduk yang sakit kulit dan sebahagian besar daripada kanak-kanak se­ring batuk dan selesema akibat terhidu udara tercemar.”

Demikian pengalaman yang terpaksa ditanggung lebih 1,500 penduduk di dua taman perumahan dan dua kampung dalam Mukim Pinang Tunggal, di sini selama kira-kira lima tahun sebelum sebuah kilang haram yang menjalankan aktiviti memproses sisa plastik dan klinikal dihentikan operasi selepas diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah hujung tahun lalu.

Penduduk di Taman Seraya, Taman Seraya Emas, Kampung Permatang Berangan dan Kampung Makau, di sini mendakwa kehidupan mereka terjejas apabila kediaman mereka dicemari asap berbau busuk dan habuk sejak hampir lima tahun lalu.

Pencemaran itu didakwa berpunca sebuah kilang haram yang menjalankan aktiviti memproses sisa plastik dan klinikal.

KILANG haram selalunya dibina di lokasi yang jauh dari jalan utama untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Kebanyakan penduduk juga lebih suka berkurung di dalam rumah dengan menutup tingkap dan pintu bagi mengelak asap dan habuk memasuki kediaman masing-masing.

Penduduk Taman Seraya, Mohamad Rodzi Mat Yosuff, 42, berkata, kilang yang dipercayai beroperasi secara haram itu hanya terletak kira-kira 150 meter dari taman perumahan menyebabkan asap dan habuk yang dilepaskan berterbangan dan melekat di sekitar rumah.

“Biasanya asap dan habuk berbau busuk seakan-akan bau mercun itu akan berterbangan ditiup angin kerana serombong asapnya menghala ke arah kawasan taman perumahan kami.

“Keadaan akan menjadi lebih teruk lagi jika musim angin kuat dengan kebiasaannya asap dan habuk itu dilepaskan selepas pukul 10 malam, setiap hari sehingga menyebabkan kami langsung tidak boleh berada di luar rumah,” dakwanya.

Penduduk Taman Seraya, Azhar Din, 54, berkata, penduduk kampung sudah lama ‘mende­rita’ setiap hari menghirup bau busuk dan habuk hitam yang berpunca kilang berkenaan.

“Jika itu kilang haram, pihak berkuasa kena pastikan ditutup dan jika ‘halal’, kilang itu perlu dipindahkan seperti arahan kerajaan negeri sebelum ini yang menetapkan supaya semua kilang kitar semula plastik hanya boleh beroperasi di Bukit Selambau, di sini,” katanya.

SISA klinikal yang ditemui di sebuah kilang haram di Mukim Pinang Tunggal, Sungai Petani hujung tahun lalu.

Seorang penduduk, Abdul Muin Ismail, 59, berkata, kehidupan harian mereka terjejas dengan asap berbau busuk dan habuk yang dilepaskan oleh kilang itu selama ini.

“Kami perlu menutup semua makanan yang dihidang bagi mengelak dicemari habuk selain tidak bebas menikmati udara segar kerana sentiasa perlu berkurung.

“Saudara-mara yang berkunjung juga tidak mahu duduk lama di sini akibat bau busuk dan tidak selesa dengan keadaan itu dan ini memberi tekanan kepada kami kerana ini satu-satunya rumah yang kami ada,” katanya.

Tambahnya, pihaknya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan JAS terus memantau kilang berkenaan kerana dibimbangi ia beroperasi semula. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN