LONDON – Bintang tenis Britain, Emma Raducanu kembali dengan aksi terbaiknya semula selepas bangkit melakar kemenangan menakjubkan selepas menewaskan pilihan kesembilan, Maria Sakkari di Wimbledon awal pagi semalam.
Pemain berusia 21 tahun tersebut mengakui dia menikmati setiap permainannya di Wimbledon untuk melakar kemenangan ke atas Sakkari dengan keputusan straight set 6-2, 6-3.
“Saya rasa hari ini saya bermain dengan sangat baik dan perkara paling penting saya menikmati perlawanan saya di gelanggang ini. Saya menikmati setiap saat.
“Saya memberitahu diri saya sendiri, berapa kali dalam hidup anda akan dapat bermain di hadapan penonton yang penuh? Saya rasa bangga dengan fokus dan keazaman saya untuk mendapatkan setiap mata.
“Jadi, saya hanya mahu memberikan terbaik terutama menentang pemain terbaik seperti Sakkari. Saya tahu, berdepan Sakkari bukan mudah kerana dia adalah pemain ranking 10 terbaik dunia.
“Saya berjuang dengan gigih kerana dia (Sakkari) begitu kuat dan mempunyai senjata yang menakjubkan terutama pukulan balas dan juga pukulan servisnya,” kata Raducanu. – AGENSI














