MANCHESTER – Kapten Manchester United, Bruno Fernandes dilapor menjadi sasaran kelab Arab Saudi dan dia hanya akan membuat keputusan mengenai masa depannya di Old Trafford selepas kempen Euro 2024 berakhir.
United dilapor menjadikan tawaran kontrak baharu kepada pemain itu sebagai keutamaan, tetapi rundingan tersebut hanya akan dilakukan selepas jendela perpindahan kali ini ditutup ketika Fernandes turut menjadi buruan Bayern Munich dan Inter Milan.
Laporan menyebut Fernandes telah memberitahu pihak kelab bahawa dia bersedia untuk mendengar sebarang tawaran selepas kempen Euro berakhir dan mahu benar-benar memahami mengenai projek yang ingin dilaksanakan oleh kelab dari Arab Saudi yang berminat sebelum membuat keputusan.
United sebelum ini telah dihubungi oleh pihak Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi pada November tahun lalu yang mahu melihat potensi perpindahan pemain itu serta menjadikannya sasaran pada jendela perpindahan kali ini.
“Saya fikir kelab ini (United) masih menjadikan saya sebahagian daripada perancangan mereka. Seperti yang selalu saya katakan, saya tidak mahu berada di kelab yang tidak menginginkan khidmat saya.
“Saya akan kekal jika saya masih relevan untuk mereka. Jika ada alasan sebaliknya, saya akan pergi,” katanya.
Difahamkan, Fernandes lebih gemar untuk membuat keputusan kekal bersama The Red Devils kerana percaya tugasnya untuk membantu kelab itu memburu gelaran Liga Perdana Inggeris belum tercapai.
“Kami mahu bersaing dalam liga ini, bermain di Liga Juara-Juara dan beraksi dalam perlawanan akhir semua pertandingan. Itu adalah standard kelab ini dan apa yang saya mahukan,” jelasnya. – AGENSI














