fbpx
TIGGO 7 PRO boleh dikenal pasti melalui jalur-jalur biru di bahagian bawah badan model itu.

Signatur jalur biru SUV China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TREND kenderaan utiliti sukan (SUV) sebagai pilihan pemanduan di Malaysia telah mendorong kebanyakan syarikat automotif untuk semakin rancak membawa masuk pelbagai model tersebut ke negara ini.

Saingan yang hebat mendorong jenama-jenama menampilkan rekaan terkini dengan teknologi canggih bagi menarik minat pelanggan.

Terbaharu, Chery Malaysia telah memperkenalkan SUV bagi Segmen C, Chery Tiggo 7 Pro dengan rekaan sporty dan eksklusif pada harga mampu milik.

Jika sebelum ini, ramai yang skeptikal dengan kenderaan syarikat automotif dari China itu, namun persepsi tersebut mula berubah apabila model terdahulu Chery Omoda 5 banyak dilihat di atas jalan raya dan menjadi pilihan.

Model Chery Tiggo 7 Pro yang diperkenalkan dikatakan menjadi pesaing kepada model SUV sedia ada dalam pasaran tempatan seperti Proton X70, Honda CR-V dan Mazda CX-5.

Dengan konfigurasi lima tempat duduk, kenderaan itu tampil dengan rekaan sporty dan selesa untuk kegunaan harian keluarga ditambah dengan teknologi diperbaharui yang memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang.

Ruangan dalaman Chery Tiggo 7 Pro yang didominasi warna hitam dengan jalur luaran berwarna putih.

Ciri menarik lain, kenderaan itu tampil dengan fungsi bantuan pemanduan yang pasti memberi pengalaman pengendalian yang lebih menarik dan menenangkan.

Penulis melihat pemandu yang tidak begitu mahir mengendalikan kenderaan juga akan berasa lebih yakin memandangkan Chery Tiggo 7 Pro ini dilengkapi dengan kamera panoramik 540 darjah. Ini bermakna, kameranya bahkan boleh melihat di bawah kenderaan.

Reka bentuk luarannya menyuntik elemen terkini yang moden dan sporty dengan menampilkan gril besar serta rekaan ‘diamond cut’ di bahagian hadapan.

Malah, rekaan modennya yang mana terdapat jalur biru di bahagian bawah badan model ini merupakan sesuatu kelainan atau serlahan berbanding warna keseluruhan badan kereta.

Ia diperkemas lagi dengan ‘skirting’ di bahagian sisi berwarna chrome dengan perincian rim aloi dua tona bersaiz 18 inci.

Dari segi saiz, panjangnya hampir sama dengan Proton X70 iaitu 4,513 milimeter (mm) dan ruang kargo untuk barangan dapat menampung kapasiti 475 liter.

Namun, jika kerusi penumpang belakang dilipat, ruang itu akan bertambah luas sehingga 1,672 liter. Bukaan ‘pintu’ belakangnya juga boleh dibuka dari jarak jauh.

Meninjau ruang kabin, warna hitam dengan kemasan chrome yang digunakan memberikan nilai eksklusif membuatkan penulis berasa kagum.

Kerusi pemandu dan penumpang menggunakan material kulit warna hitam dengan jalur luar warna putih seperti seolah-olah berada dalam kereta sport.

TIGGO Pro 7 merupakan kenderaan SUV segmen C.

Papan pemuka model ini pula hadir dengan dual skrin bersaiz 24.6 inci turut dilengkapi dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Sistem infotainment juga hadir bersama lapan pembesar suara jenama Sony selain fungsi penghawa dingin dua zon, tempat duduk hadapan dengan liang pengudaraan, bumbung panoramik dan ruang simpanan konsol tengah dengan fungsi penyejuk.

Tidak ketinggalan ialah ciri lampu ambient dengan 64 pilihan warna dan tiga mod pemanduan mengikut keselesaan pemandu iaitu normal, eco dan sport.

Dari segi kuasa, Chery Tiggo 7 Pro ini menggunakan enjin 1.6 liter empat silinder turbo (TGDi) digandingkan bersama transmisi automatik tujuh kelajuan klac berkembar (DCT).

Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa 197hp dan tork 290Nm dengan kelajuan maksimum 205 kilometer sejam (km/j)

Dari segi pemanduan, kuasa dan tork yang dihasilkan mampu untuk membuatkan pemandu tersenyum sendirian kerana tiada istilah ‘tidak cukup kuasa’ untuk model ini.

Untuk ciri keselamatan pula, Chery Tiggo 7 Pro dilengkapi generasi terkini Advanced Driver Assistance System 2.5 (ADAS 2.5) dan menetapkan standard baharu untuk sistem bantuan pemandu lanjutan.

Ini termasuk Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Detection (BSD), Emergency Lane Keeping (ELK), Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

Selain itu, ia turut dilengkapi ciri Forward Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB) dan Lane Departure Prevention (LDP).

Penulis menyimpulkan model ini mampu memberikan persaingan dalam segmennya kerana menawarkan rekaan menarik di samping harga yang munasabah.

Model ini mampu memberi saingan hebat dengan teknologi terkini dari China selain rekaannya setaraf kereta SUV mewah di pasaran negara.

Tepuk dada tanya selera, pengguna kini bukan lagi memilih atas faktor jenama sebaliknya prestasi kereta yang ditawarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN