SEPERTI manusia, alam haiwan juga mempunyai pasangannya yang tersendiri dan membentuk sebuah keluarga. Haiwan jantan dan betina mempunyai peranan masing-masing dalam kehidupan.
Bagi haiwan jantan, mereka akan menjadi bapa dan bertanggungjawab menjadi pelindung kepada anak-anaknya.
Meskipun hanya haiwan, namun ia juga dikurniakan dengan naluri kasih sayang terhadap keluarganya.
Bersempena sambutan Hari Bapa baru-baru ini, Panorama menyenaraikan lima ‘bapa’ terbaik dalam dunia haiwan seperti yang dilaporkan oleh Natural Habitat Adventures.
Penguin
Penguin maharaja menjadi bapa paling terbaik dalam dunia haiwan.
Ketika penguin betina bertelur, ia menghabiskan begitu banyak tenaga sehingga rizab makanannya berkurang.
Dia mesti pergi ke laut selama dua bulan untuk mencari sumber makanan.
Pada masa itu, penguin jantan mengambil peranan sebagai bapa tunggal, mengekalkan telur supaya panas dengan sentiasa mengimbangi telur antara jari kaki dan perutnya.
Malah, penguin jantan itu akan mengambil tanggungjawab dengan serius dan tidak makan atau bergerak sepanjang dua bulan. Ini kerana, jika telur itu terdedah kepada sejuk dan angin Antartika yang kuat, ia tidak akan bertahan.
Jika anak penguin itu menetas sebelum ibunya kembali, ia akan memberi anak-anaknya susu yang dihasilkan daripada esofagusnya.
Katak dan kodok
Secara kolektif, kebanyakan spesies katak dan kodok mempunyai beberapa bapa yang cukup berdedikasi.
Sesetengah katak jantan menyimpan berudu di dalam mulut sehingga mampu hidup sendiri.
Satu jenis katak yang dipanggil katak berkantung membawa anak-anaknya dalam kantung perut semasa membesar, sama seperti kanggaru atau posum.
Kuda laut
Kuda laut jantan menjadi lebih hebat apabila ia berkaitan dengan keibubapaan. Ia adalah satu-satunya spesies dalam alam haiwan yang terkenal dengan kehamilan lelaki.
Ibu kuda laut memasukkan telurnya ke dalam kantung kuda laut jantan dan kemudian dia menyuburkan serta mengeram telur selama 45 hari sehingga anak dilahirkan sebagai kuda laut kecil.

anak-anaknya.
Flamingo
Flamingo jantan adalah bapa yang baik, walaupun semasa berkumpul dengan beribu-ribu burung. Ia akan kekal monogami, mengawan dengan seekor flamingo betina istimewa seumur hidup.
Bapa flamingo juga feminis kerana sepenuh hati percaya pada kesaksamaan jantina yang jarang berlaku dalam alam haiwan.
Apabila tiba masa untuk mengawan, flamingo jantan membantu si betina memilih tapak bersarang dan bersama-sama membina sarang daripada lumpur.
Sebaik sahaja dia meletakkan telurnya, si bapa mengambil bahagian dalam tanggungjawab mengeram telur itu. Ini kerana, kedua-duanya akan bergilir-gilir duduk di atas sarang dalam jumlah masa sama.
Sebaik anak menetas, si ibu dan ayah akan berkongsi semua tugas keibubapaan secara sama rata.
Tamarin singa emas
Menjelang usia dua minggu, bayi tamarin singa emas digendong di atas belakang bapa mereka hampir setiap masa.
Bapa menyerahkan bayi kepada ibu satu demi satu setiap dua hingga tiga jam. Kemudian, si ibu menyusukan bayi itu selama kira-kira 15 minit sebelum menyerahkannya semula kepada bapa.
Bayi akan menumpang di belakang bapa sehingga mereka berumur enam hingga tujuh minggu.
Pada minggu keempat, bayi mula makan makanan lembut dan menjadi tugas bapa untuk mengupas serta menumbuk pisang sebelum memberi makan kepada anak-anaknya.














