fbpx
SEORANG pelajar maut akibat dilanggar van sekolah dalam kejadian di Jalan Suria, Bandar Seri Alam, Johor Bahru pada Rabu lalu.

Budak mati dilanggar van, ini perlu anda lakukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIADA lagi jeritan manja memanggil ibu setiap kali pulang dari sekolah, satu suara yang pastinya dirindui seorang wanita berusia 39 tahun selepas ini.

Keletah manja kanak-kanak itu pasti menjadi memori menemani siang malam kehidupannya sekeluarga.

Wanita berkenaan kehilangan anak bongsunya akibat dilanggar van sekolah dalam kejadian di Jalan Suria, Bandar Seri Alam, Johor Bahru pada Rabu lalu.

Berdasarkan laporan Kosmo!, pemandu van sekolah yang juga wanita berusia 50 tahun telah menurunkan mangsa bersama abangnya berusia enam tahun di hadapan rumah.

Pemandu berkenaan kemudian dilaporkan mahu meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa melepasi belakang kenderaannya. Dia beranggapan mangsa mengikuti langkah abangnya.

Bagaimanapun, sebaliknya yang terjadi apabila tanpa disedari pemandu van sekolah itu dipercayai telah melanggar kanak-kanak perempuan berkenaan.

Sudah lama kejadian sebegini tidak kedengaran atau disiarkan media. Sama ada memang tiada langsung kes seumpama ini atau ada tetapi ‘senyap-senyap’.

Pada 2021, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun meninggal dunia akibat dilanggar van sekolah ketika mangsa melintas di bahagian depan kenderaan itu.

Ketika ini lebih lima juta pelajar sekolah sedang menuntut ilmu di semua institusi pendidikan meliputi prasekolah, sekolah rendah dan menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) mahupun swasta.

Daripada data berkenaan, sudah pasti sebahagiannya menggunakan pengangkutan bas dan van sekolah tidak kira yang berdaftar atau pun sebaliknya.

Penggunaan kenderaan itu tidak dapat dielakkan berikutan tuntutan masa ibu bapa selain jarak sekolah yang jauh dari kediaman. Ada yang menaiki bas mahupun van ketika ke sekolah atau pulang atau kedua-duanya sekali.

Bayaran juga bukan murah ketika ini, ada keluarga habis ratusan ringgit untuk perjalanan ke sekolah sahaja.

Dalam kes kemalangan melibatkan pelajar sekolah ini, banyak perkara yang perlu diambil pengajaran, suatu ikhtibar yang perlu ditekankan kepada ibu bapa, pelajar dan pemandu van atau bas.

Kanak-kanak sifatnya kecik, laju dan suka menyelinap. Mereka juga selalunya teruja terutamanya sewaktu pulang sekolah. Van atau bas pula tinggi, sudah pasti sukar melihat keberadaan para pelajar ini.

Kepada ibu bapa, teruslah tanpa jemu ingatkan anak-anak supaya berhati-hati ketika turun dari kenderaan, selalu lihat kiri dan kanan sewaktu melintas.

Bagi keluarga yang mampu, tunggulah di luar rumah setiap kali para pelajar ini pulang dari menuntut ilmu.

Kepada pemandu bas, van sekolah pula sentiasa waspada dan beringat, perhatikan langkah pelajar-pelajar yang diamanahkan, pastikan semuanya selamat turun dan melepasi kenderaan ke tempat dituju.

Kepada pengusaha perkhidmatan pengangkutan sekolah pasanglah kamera atau sensor di hadapan dan belakang kenderaan anda bagi tujuan keselamatan. Amalkan jarak masa sebelum meneruskan perjalanan. Pihak berkuasa boleh ambil kira perkara ini.

Usaha kita yang sedikit tetapi bersungguh-sungguh mampu menyelamatkan satu nyawa dan merubah seluruh kehidupan. Bukan cari salah tetapi membantu dalam ikhlas. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN