KESESAKAN lebuh raya menyebabkan ramai warga kota yang tinggal jauh di perantauan tidak pulang ke kampung pada hari raya korban tahun ini.
Bagi mereka, tidak berbaloi untuk menempuh kesesakan berbelas-belas jam lamanya terutama di Pantai Timur serta nun jauh di utara dan selatan, sedangkan tempoh cuti amat singkat.
Cuti umum hanya pada hari raya pertama korban, Isnin lalu, manakala raya kedua hanya pelajar yang cuti sekolah dan jika ibu bapa mahu bercuti, mereka terpaksa mengambil cuti tahunan atau ‘mc’.
Bagaimanapun, hari ini, semua orang sudah mula bekerja dan sekolah dibuka seperti biasa. Jadi ramai perantau terpaksa pulang semula ke ibu kota selewat-lewatnya semalam dan sebahagian mereka hari raya pertama korban.
Situasi ini menyebabkan kesesakan berlaku ketika perantau pulang semula ke ibu kota.
Berbanding ketika pulang ke kampung, perantau mempunyai tempoh tiga hari untuk balik secara berperingkat bermula Jumaat lalu.
Ada yang memberitahu, penat menempuh kesesakan pada Hari Raya Aidilfitri lalu pun masih belum hilang dan mereka seolah-olah serik untuk melaluinya. Lebih baik sambut hari raya korban di ibu kota, lebih kurang sama kemeriahannya.
Lagipun rata-rata pekerja swasta masih belum menerima gaji melainkan kakitangan kerajaan yang sudah mendapat gaji lebih awal.
Kebanyakan duit juga telah dihabiskan untuk bercuti baru-baru ini sempena cuti persekolahan selama seminggu.
Jika pulang ke kampung, kos yang diperlukan juga menelan belanja ribuan ringgit melibatkan pembayaran tol, perbelanjaan petrol, selenggara kenderaan, makan minum dan lain-lain lagi.
Selain itu, ada pekerja swasta yang terpaksa bekerja pada cuti umum, menyebabkan mereka tidak dapat pulang ke kampung.
Ada juga yang tidak balik apabila tiada lagi ibu bapa, malah rumah pusaka juga sudah usang. Hanya dua pilihan yang ada sama ada menginap di rumah adik-beradik atau homestay dan hotel.
Jadi semangat untuk pulang ke kampung sudah tiada, apatah lagi terpaksa menempuh kesesakan teruk.
Bagi mereka yang sudah pencen, ibu negara atau Lembah Klang telah menjadi tempat tinggal hingga akhir hayat. Jadi ibadah korban dilakukan di tempat tinggal sahaja.
Sempena hari raya korban kali ini, kesesakan tidak seteruk Aidilfitri lalu apabila ramai warga kota tidak pulang ke kampung.
Dianggarkan 2.52 juta kenderaan menggunakan lebuh raya utama negara pada hari-hari puncak menjelang Aidiladha.
Berbeza dengan Hari Raya Aidilfitri lalu, lebih 5 juta kenderaan sehari.
Pulang ke kampung pada musim-musim perayaan perlu memiliki hati yang kental kerana yang kental pasti akan sampai. -KOSMO! ONLINE















