“KITA sebagai pemain tiada siapa pun nak kalah. Apabila anak saya hubungi saya, dia tanya daddy kenapa kalah, saya sebagai ayah apa yang saya nak jawab dekat anak saya!”
Masih segar lagi kenyataan Faisal Halim menjelang aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia menentang Korea Selatan, Januari lalu dan janjinya itu berjaya ditunaikan hingga jaringan dihasilkan diangkat sebagai gol terbaik kejohanan.
Semua itu sudah menggambarkan Faisal adalah individu berjiwa besar dan frasa itu sekali lagi boleh dikaitkan dengan perjuangannya untuk kembali pulih daripada episod ngeri selepas disimbah asid malah kali ini sokongan seluruh Malaysia boleh dijadikan ‘vitamin’ buatnya kekal kuat.
Fizikal ‘kecil molek’ Faisal sendiri menggambarkan identiti Malaysia sebagai negara yang berada dalam dunia besar dan dikelilingi oleh kuasa besar.
Kesukaran dilalui sepanjang karier menggambarkan Faisal berjiwa besar kerana walaupun bola sepak berpaksikan kepada kekuatan fizikal, anak kelahiran Pulau Pinang ini sentiasa mencari ruang bersaing dengan gergasi besar lain.
Perit buatnya untuk melalui segala penderitaan sekarang tetapi tanpa sedar insiden menimpa Faisal meninggalkan pelbagai mesej tersirat hingga begitu disayangi oleh majoriti rakyat Malaysia dan ada yang menganjurkan solat hajat khusus untuk kesembuhannya.
Ketika masih ada yang berbalah kerana berbeza fahaman politik atau apa juga hal, apabila menyentuh mengenai ‘bencana’ melanda Faisal semuanya akan mampu duduk semeja atau pun menzahirkan nada yang sama.
Itu sudah cukup untuk menunjukkan sukan sebenarnya ejen perpaduan paling berkesan dan kerana insan bernama Faisal Halim inilah juga yang menyemai penyatuan rakyat Malaysia.
“Secara amnya insiden yang berlaku menyatukan Malaysia, kita dapat lihat Mickey (Faisal) dan keluarga bersyukur melihat reaksi serta inisiatif dilakukan oleh semua lapisan masyarakat. Sama ada pasukan profesional, amatur dan pihak bukan dalam bola sepak seperti surau dan masjid juga mendoakan Faisal.
“Kita dapat lihat ini adalah respons yang bagus apabila rakyat seluruh negara mengambil hal ini secara serius. Ini juga menunjukkan rakyat Malaysia sebenarnya boleh bersatu.
“Kita kena jadi positif di sebalik musibah ini. Memang kita tidak lalui apa yang dilalui Mickey tetapi yang baiknya musibah ini menyatukan semua orang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon.
Mei 2024 akan terus dikenang sebagai detik hitam dalam sejarah bola sepak negara kerana tiga pemain diserang individu tidak dikenali, bermula dengan insiden Akhyar Rashid disamun, serangan asid terhadap Faisal dan cermin kereta bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim dipecahkan.
Di pihak Selangor FC, kes serangan terhadap Faisal adalah isu nasional dan seluruh rakyat berhak mengetahui perkembangan terkini hasil siasatan, namun tiada sebab untuk bertindak secara bersendirian hingga beri kesan kepada keamanan negara.
“Dia (Faisal) pemain kebangsaan, ramai pengikut. Harapan saya kalau ada apa-apa perkembangan tidak sensitif saya harap pihak berwajib dapat kemas kini,” kata Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar.














