PASIR MAS – Kebimbangan mula dirasai para penternak di daerah ini dengan ancaman kejadian curi lembu terutamanya menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
Situasi itu menyebabkan rata-rata penternak terpaksa berjaga malam untuk memastikan lembu ternakan yang telah ditempah orang ramai untuk ibadah korban tidak dikebas pencuri.
Menurut mereka, kegiatan mencuri lembu korban mula berlaku sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan harga yang ditawarkan pihak terbabit jauh lebih murah berbanding dengan harga yang dijual oleh penternak.
Seorang penternak dikenali sebagai Miji, 38, berkata, kebanyakan penternak memilih untuk berjaga malam kerana bimbang lembu mereka hilang dari kandang.
Menurutnya, kesemua lembu yang ada di kandang adalah untuk dijual selain tempahan yang belum dihantar kepada pembeli di sekitar negeri ini dan luar Kelantan.
“Saya difahamkan, kejadian mencuri lembu korban berlaku setiap tahun apabila Hari Raya Aidiladha semakin hampir.
“Pencuri akan masuk ke kampung menggunakan kereta atau lori untuk mengangkut lembu yang dicuri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Miji berkata, untuk mengelak mereka menanggung kerugian, lembu yang sudah ditempah akan dihantar kepada pelanggan setiap hari.
“Harga lembu korban berlaku sedikit kenaikan, namun saya terpaksa menjual harga seperti biasa kerana bimbang berlaku lambakan dan menanggung kerugian sebelum Hari Raya Aidiladha,” katanya.
Seorang lagi penternak, Azalimin Hamzah, 40, berkata, dia kerugian hampir RM10,000 apabila dua ekor lembunya dikebas pencuri tahun lalu.
“Mulai minggu ini, saya terpaksa berjaga malam kerana bimbang kejadian tahun lalu berulang.
“Tahun ini saya harap tidak alami kerugian lagi dan dalam tempoh seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha, pencuri aktif masuk kampung untuk mencuri lembu penduduk,” katanya.














