Saudara Pengarang,
Sebagai mantan pengamal media, saya menyokong penuh usaha kerajaan untuk menguruskan pemberian caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada para pengamal media sambilan di negara ini.
Berdasarkan data Jabatan Penerangan, seramai 565 pengamal media yang berdaftar di negara ini adalah bertaraf sambilan dan Perkeso mengesahkan 538 daripadanya tiada caruman Perkeso, namun layak didaftarkan.
Pengamal media sambilan akan menerima caruman Perkeso tersebut bagi tempoh satu tahun mulai 1 Julai ini yang akan ditampung sepenuhnya oleh Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Berikutan itu saya berharap semua organisasi media berdaftar di negara ini menyahut seruan ini untuk mengemas kini data masing-masing supaya sesuatu bentuk bantuan dari kerajaan, mereka yang layak akan sama-sama merasai faedahnya.
Dalam pada itu, saya juga menasihatkan para pengamal media sambilan di negara ini melaksanakan tanggung jawab mereka dengan penuh berhemah dan tidak meletakkan diri sebagai pengamal media taraf kedua.
Saya sendiri pernah menjadi wartawan sambilan selama 24 tahun selepas menamatkan perkhidmatan sebagai wartawan sepenuh masa dengan Utusan Malaysia selama 23 tahun.
Paling penting bagi saya menjaga imej organisasi tempat bertugas dengan penuh semangat dan menghasilkan berita yang benar, tepat dan berkualiti.
Golongan wartawan di Malaysia harus bersyukur kerana negara sekarang ditadbir oleh kerajaan yang peka membela nasib mereka.
Ramli Ismail
Kangar, Perlis















