KUANTAN – “Emak tak sanggup nak tengok baju terakhir yang arwah Syafiq pakai, jadi kami sekeluarga bersepakat untuk minta kawan-kawan arwah tanam pakaian itu di Balai Polis Ulu Tiram pada 29 Mei lalu.”
Demikian kata Nurul Syuhada Ahmad Said, 31, kakak sulung kepada Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, anggota polis yang maut dalam serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei lalu.
Nurul Syuhada berkata, pada mulanya mereka sekeluarga berhasrat untuk menyimpan uniform terakhir arwah, namun ibunya, Aini Mohd. Shariff, 57, meminta agar baju berkenaan ditanam di balai tempat arwah bertugas sebagai kenangan.
“Hanya baju dan seluar arwah yang ditanam, barang lain seperti kasut, tali pinggang dan jam tangan kami sedekah kepada kawan-kawan arwah di sana (Balai Polis Ulu Tiram).
“Emak dan ayah (Ahmad Said Md. Piah) juga masih terkesan dengan kejadian berlaku. Walaupun reda dengan peristiwa itu, tetapi apabila teringat akan arwah Syafiq mesti sedih dan menangis,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Nurul Syuhada yang menetap di Batu Pahat, Johor berkata, mereka sekeluarga juga baharu menerima barangan peribadi dan kelengkapan rumah milik arwah Syafiq, namun masih tidak membuka lagi kotak yang menyimpan barangan berkenaan.
“Khamis lalu barangan peribadi arwah seperti baju, seluar, kasut serta kelengkapan rumah termasuk peti ais dan mesin basuh telah dihantar ke rumah keluarga di Taman Seri Mahkota Jaya.
“Tetapi emak dan ayah masih tidak membuka kotak yang menyimpan barangan peribadi arwah sebab masih terbayang susuk tubuh arwah.
“Hanya beberapa helai pakaian arwah Syafiq yang sedia ada di rumah keluarga telah disedekahkan kepada rakan-rakannya. Ia sebagai kenangan terakhir dan semoga pahala berpanjangan untuk arwah,” ujarnya.
Kata Nurul Syuhada, arwah adiknya juga telah menyewa rumah sendiri di Ulu Tiram kerana dia berhasrat untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini dengan gadis pilihannya.
“Arwah juga telah membeli beberapa barangan keperluan rumah seperti peti ais, mesin basuh dan katil sebagai persediaan sebelum berumah tangga,” jelasnya.
Tambahnya, Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelma tidak lama lagi juga pasti tidak semeriah sebelum ini ekoran pemergian mengejut arwah Muhamad Syafiq.
Pada 29 Mei lalu, dua anggota polis berpangkat konstabel terbunuh, manakala seorang lagi cedera dalam kejadian serangan berdarah ke atas Balai Polis Ulu Tiram pada pukul 2.30 pagi.
Serangan itu dilakukan oleh seorang lelaki tempatan bertopeng berusia 21 tahun yang menceroboh balai berkenaan.
Suspek turut terbunuh selepas berbalas tembakan dengan anggota polis di balai tersebut.
Berita berkaitan: Penyerang Balai Polis Ulu Tiram belajar setakat darjah 4
















