KURANG seminggu lagi tirai saingan bola sepak paling berprestij di Eropah dan kedua di dunia iaitu kejohanan Euro 2024 akan membuka tirai pada awal pagi 15 Jun ini dengan perlawanan pertama melibatkan tuan rumah, Jerman yang turun menentang Scotland di Allianz Arena.
Ini merupakan kali kedua Jerman dipilih menjadi tuan rumah penganjuran penuh untuk saingan Euro dengan 24 pasukan bakal bersaing merebut kejuaraan selepas kali pertama mereka menganjurkannya pada 1988 yang ketika itu negara tersebut hanya dikenali sebagai Jerman Barat.
Selain Itali yang turun sebagai penyandang juara, Euro 2024 menyaksikan Georgia menjadi ‘keluarga’ baharu kejohanan apabila membuat penampilan sulung selepas berjaya mengejutkan juara
Euro 2004, Greece pada aksi playoff dan diletakkan di dalam Kumpulan D bersama Portugal, Turkiye dan Republik Czech.
Sepanjang sebulan saingan berlangsung, 10 buah stadium dipilih menjadi gelanggang perlawanan melibatkan beberapa bandar utama di Jerman dan sebanyak 2.7 juta tiket tersedia untuk para peminat dari seluruh Eropah menyaksikan kejohanan tersebut yang mula diperkenalkan sejak 1966.
Jerman dan Sepanyol dianggap pasukan paling berjaya pada kejohanan ini apabila masing-masing merangkul tiga gelaran sebelum ini, manakala Itali pernah menjulang dua gelaran termasuk ketika menewaskan England di Wembley empat tahun lalu untuk menjulang trofi Henri Delaunay tersebut.
Selain turun dengan misi untuk membantu pasukan kebangsaan masing-masing mencapai puncak kejayaan, Euro 2024 bakal menyaksikan beberapa pemain membawa misi peribadi bersama-sama kerana kejayaan menjulang kejuaraan akan menjadi ‘jambatan’ terbaik untuk melangkah ke satu tahap berbeza iaitu mengejar pencapaian individu Ballon d’Or.
Ballon d’Or dianggap pencapaian paling unggul sebagai pemain bola sepak dan sejak lebih sedekad lalu, ia hanya dikuasai oleh dua nama, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, namun ketika kedua-dua mereka sudah berstatus veteran, peluang itu kini terbuka luas kepada pemain lain.
Tiga nama yang dianggap berpeluang cerah untuk memburu Ballon d’Or dengan menggunakan tiket Euro kali ini adalah Toni Kross (Jerman), Jude Bellingham (England) dan Kylian Mbappe (Perancis) selepas merekodkan pencapaian cemerlang bersama kelab masing-masing sebelum ini.
Kroos yang mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak selepas saingan Euro tamat sedar bahawa ini adalah peluang terakhirnya untuk membina legasi yang hebat selepas mengecapi segala-galanya dalam dunia bola sepak termasuk Piala Dunia, namun kejohanan kali ini boleh dianggap serampang dua mata.
Pemain berusia 34 tahun berkenaan memiliki pelbagai koleksi kejayaan, namun dia belum pernah menjulang trofi Euro dan kejayaan itu pasti akan melorongkannya ke pentas Ballon d’Or selepas musim ini turut menjulang gelaran La Liga dan Liga Juara-Juara bersama Real Madrid.
Sementara itu, Bellingham atau Mbappe juga dilihat berpeluang cerah untuk merangkul gelaran itu jika mereka berjaya menjulang kejuaraan kali ini bersama pasukan kebangsaan masing-masing.
Bagaimanapun, jika ketiga-tiga mereka gagal melakukannya, peluang terbuka luas buat Vinicius Jr. andai Brazil berjaya dinobatkan juara pada aksi Copa Amerika yang akan berlangsung di Amerika Syarikat.














