fbpx
SEBUAH pesawat milik Wizz Air berada di Lapangan Terbang Liszt Ferenc, Budapest selepas dilencongkan susulan ancaman bom pada 2 November lalu. – AFP

Eropah gempar, 18 penerbangan terima ancaman bom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISTANBUL – Sekurang-kurangnya 18 penerbangan komersial di seluruh Eropah dilaporkan menerima ancaman bom semalam, menyebabkan sebilangan pesawat terpaksa mendarat cemas, mengubah laluan serta menjalani pemeriksaan keselamatan, lapor agensi berita  Anadolu.

Insiden membabitkan syarikat penerbangan termasuk Ryanair, Wizz Air, LOT Polish Airlines, Finnair, Jettime, KLM dan Aer Lingus.

Di Perancis, sebuah pesawat Airbus A320 milik Aer Lingus yang dalam perjalanan dari Dublin menuju Rom dilencongkan ke sebuah pangkalan udara di Evreux, Normandy, susulan ancaman bom.

Pesawat membawa 151 penumpang dan enam kru u mendarat dengan selamat sebelum diperiksa pasukan pemusnah bom tentera Perancis.

Di Itali, sebuah pesawat Finnair dari Helsinki ke Rom diiringi jet pejuang Tentera Udara Itali ke Lapangan Terbang Fiumicino susulan ancaman sama.

Pesawat itu mendarat dengan selamat dan menjalani pemeriksaan keselamatan, sementara lapangan terbang itu menggantung operasi selama kira-kira 30 minit, demikian menurut agensi berita Itali, ANSA.

Ancaman bom turut melibatkan dua penerbangan lain menuju ke Milan Malpensa. Kedua-dua pesawat terbabit tidak dilencongkan dan mendarat mengikut jadual, iaitu penerbangan Aegean Airlines yang berlepas dari Thessaloniki, Greece dan pesawat Ryanair yang berlepas dari Porto, Portugal.

Satu lagi penerbangan Finnair dari Helsinki ke Vienna  turut menerima ancaman bom tetapi mendarat mengikut jadual.

Sementara itu, tiga penerbangan Ryanair menuju ke ibu kota Bulgaria, Sofia turut menerima ancaman bom, menyebabkan Tentera Udara Bulgaria mengerahkan jet pejuang MiG-29.

Di Republik Czech pula, polis melaporkan ancaman bom membabitkan empat penerbangan menuju ke Prague dengan  prosedur keselamatan tetap dilaksanakan walaupun ancaman dianggap kurang berasas.

Ancaman serupa turut dilaporkan membabitkan penerbangan di Austria, Romania, Belgium, Poland dan Denmark, dengan beberapa pesawat menjalani pemeriksaan keselamatan selepas mendarat.

Menurut media Itali,  e-mel ancaman yang dihantar ke Lapangan Terbang Fiumicino mendakwa bahan letupan diletakkan dalam dua penerbangan menuju ke Rom.

E-mel itu ditandatangani kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Fighters of the Male State’ dan mempunyai kaitan dengan kandungan berunsur perkauman serta kebencian terhadap wanita.

Kumpulan itu menjadi tumpuan agensi keselamatan dan perisikan, serta disenaraikan oleh Russia sebagai kumpulan pelampau dan pengganas yang diharamkan, lapor media Itali itu.

Laporan awal berhubung e-mel ancaman bom yang dihantar ke lapangan terbang di Itali itu akan dikemukakan kepada pihak pendakwa raya berkaitan.

Perkhidmatan Perisikan Romania (SRI) menyatakan, dua lagi ancaman bom telah menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Henri Coanda di Bucharest, susulan insiden serupa yang berlaku lebih awal pada hari yang sama, menurut laporan media tempatan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN