MEKAH – Semuanya bagaikan mimpi bagi Mazidah Azmi, 50 apabila dia dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci menunaikan ibadah haji buat pertama kalinya.
Menurutnya wanita berasal dari Sarawak ini, lebih membuatkannya terharu apabila suaminya, Zainal Abidin Sabdin, 53, dapat melunaskan baki bayaran yang diminta pihak Tabung Haji dalam tempoh dua hari.
Katanya, dia tidak mempunyai wang ketika mendapat penggilan daripada Tabung Haji.
“Situasi begitu kelam kabut ketika menerima panggilan telefon daripada Tabung Haji yang mengatakan saya dapat menunaikan haji dan perlu melengkapkan bayaran dalam tempoh dua hari,”katanya ketika ditemui semalam.
Tambah Mazidah, apa yang menggembirakan, suaminya turut membuat rayuan untuk bersama-sama menemaninya mengerjakan rukun Islam kelima itu.
“Alhamdulillah, kasih kembali bertaut dan kami menjadi lebih rapat apabila berpeluang menunaikan haji bersama-sama,”jelasnya.
Menurut Mazidah, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan, urusan serta hasrat untuk menunaikan haji tercapai jua.-KOSMO ONLINE














