fbpx
MODI (dua dari kiri) meraikan kemenangan di ibu pejabat BJP di New Delhi semalam. - AFP

Prospek penggal ketiga Modi sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEW DELHI – Perdana Menteri India, Narendra Modi berdepan prospek penggal ketiga yang jauh lebih sukar daripada jangkaan, selepas parti pimpinannya gagal memperoleh majoriti kukuh buat kali pertama sejak berkuasa sedekad lalu.

Keputusan yang dikeluarkan lewat kelmarin mengubah situasi konvensional sepanjang pilihan raya yang diadakan selama enam minggu, ketika penganalisis-penganalisis menganggap agenda nasionalis Hindu Modi akan memberinya kemenangan besar.

Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi kehilangan majoriti kukuh di Parlimen yang dinikmatinya dalam dua penggal pertama.

Namun, beliau dijangka masih boleh memerintah India dengan mengetuai pakatan parti-parti yang lebih kecil.

Pemimpin berusia 73 tahun itu menegaskan pada malam kelmarin bahawa keputusan pilihan raya adalah kemenangan yang memastikan beliau dapat meneruskan agendanya.

“Penggal ketiga kami akan menjadi salah satu keputusan yang besar, manakala negara ini akan mencatatkan lembaran pembangunan baharu. Ini adalah jaminan Modi,” katanya.

Parti BJP hanya memperoleh 240 kerusi di Parlimen, jauh lebih sedikit berbanding 303 kerusi yang dimenanginya lima tahun lalu. 

Dalam perubahan yang luar biasa, Parti Kongres yang membangkang memenangi 99 kerusi, hampir menggandakan jumlah kerusi yang dimenangi pada 2019 iaitu sebanyak 52 kerusi.

Sementara itu, ketua pembangkang, Rahul Gandhi daripada Parti Kongres berkata, India tidak lagi memerlukan Modi.

“Saya yakin rakyat negara ini memberikan respons yang betul,” katanya kepada pemberita. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN