SEBAGAI seorang pensyarah, saya sering diajukan persoalan oleh beberapa penuntut program kewartawanan. Adakah kerjaya wartawan ini masih relevan berikutan kewujudan ‘wartawan jadian’ yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan, dalam media sosial?
Setiap semester akan ada persoalan yang sama dan saya sangat faham kerana mereka berasa bimbang keputusan memilih program kewartawanan untuk melanjutkan pengajian satu keputusan salah.
Jawapan saya kepada mereka, kerjaya sebagai wartawan akan kekal relevan sampai bila-bila meskipun wujud wartawan jadian.
Apa yang membezakan anda (saya gelarkan semua penuntut program kewartawanan sebagai wartawan) dengan wartawan jadian adalah etika.
Wartawan profesional berpegang pada etika kewartawanan, tetapi wartawan jadian bebas sesuka hati mereka serta bersifat semberono apabila berkongsi sebarang berita atau informasi.
Wartawan profesional perlu berpegang kepada ketepatan fakta setiap kali melaporkan sesuatu berita, namun wartawan jadian langsung tidak mengendahkan hal berkenaan.
Sebab itu setiap kali kuliah saya akan menegaskan kepada semua penuntut, accuracy is number one.
Ingat pesanan saya ini sampai bila-bila, sampai awak semua sudah menjadi wartawan profesional di mana-mana organisasi berita.
Selain ketepatan fakta, wartawan profesional perlu sensitif dalam melaporkan sesuatu berita terutama melibatkan isu-isu 3R iaitu kaum, agama dan raja.
Selain itu, perlu berhati-hati dalam pemilihan ayat atau perkataan kerana penulisan seorang wartawan ‘lebih tajam daripada mata pedang’.
Wartawan profesional juga perlu mengelak daripada ‘membesar-besarkan’ (exaggerating) sesuatu berita hanya semata-mata ingin menarik perhatian pembaca.
Kenapa perlu berpegang teguh kepada etika kewartawanan? Inilah yang akan menjadikan semua pelaporan seorang wartawan dipercayai atau credible.

Walaupun banyak informasi atau berita yang dikongsi wartawan jadian di media sosial, namun seorang pembaca bertanggungjawab tetap akan menunggu berita dikeluarkan oleh organisasi media sahih.
Etika kewartawanan diibaratkan sebagai ‘kitab’ bagi semua wartawan profesional yang berfungsi sebagai garis panduan kepada mereka dalam melaksanakan tugas.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil baru-baru ini melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang menampilkan lapan etika utama.
Antaranya, wartawan perlu telus dan berintegriti serta digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.
Etika lain menyebut, wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi, wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber serta kesahihan dan ketepatan maklumat.
Selain itu, wartawan perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka. Wartawan juga perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.
Fahmi dilaporkan berkata, versi baharu Kod Etika Wartawan itu telah dimurnikan dengan melibatkan wakil wartawan dan organisasi media, serta mempertimbangkan peranan pengamal media tanpa menghalang, mengekang atau menyekat kebebasan bersuara dalam pelaporan.
Justeru, penting bagi wartawan profesional untuk berpegang teguh kepada etika kewartawanan.
Jangan sesekali melanggar etika kewartawanan ini kerana kalau sekali ia dilanggar, reputasi anda sebagai seorang wartawan akan terjejas dan masyarakat akan mula sangsi terhadap berita dilaporkan.
Kepada semua mahasiswa program kewartawanan, jangan khuatir dan teruslah menimba ilmu kerana anda semua pelapis yang akan menggantikan wartawan profesional sedia ada.
Jangan rasa tergugat dengan kewujudan wartawan jadian kerana mereka sememangnya tidak akan dapat menggantikan peranan wartawan sebenar yang lebih beretika.
Semua orang boleh menulis, tetapi bukan semua orang mampu bergelar wartawan.















