fbpx
Anggota penguat kuasa memeriksa minyak masak peket dalam serbuan di sebuah premis dalam daerah Melaka Tengah.

Restoran tamak di Melaka kena serbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Terdapat restoran di negeri ini dikesan mengerah pekerja mereka dan mengupah individu lain untuk membeli mi­nyak masak peket di kedai runcit dan pasar raya bagi menjimatkan kos operasi.

Ini selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Melaka merampas lebih 11,000 kilogram (kg) barangan bersubsidi itu dalam serbuan di beberapa buah restoran di negeri ini sejak tahun lalu sehingga April lepas.

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, siasatan mendapati pihak restoran mengerah pekerja mereka untuk membeli minyak masak peket setiap hari.

“Jika sebuah premis itu mempunyai 10 pekerja, jadi pemilik restoran memperoleh 20 peket minyak masak sehari. Barangan itu dikumpul dan disimpan dalam asrama pekerja atau di kawasan tangga,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Norena, ada pemilik restoran dikesan menggunakan khidmat orang tengah untuk membeli minyak peket di kedai runcit dengan upah RM0.50 sehingga RM1 sepeket.

Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, terdapat pemilik restoran yang memindahkan minyak masak peket ke dalam botol isian lima kilogram yang tidak bersubsidi.

“Taktik itu dikesan digunakan sebuah restoran di daerah Me­laka Tengah membabitkan rampasan berjumlah 320 kg. Kita juga merampas tepung gandum.

“Serbuan itu dilakukan selepas kita menerima aduan daripada orang awam berhubung aktiviti mencurigakan pekerja restoran tersebut yang dilihat kerap membeli minyak masak peket bersubsidi.

“Kita menemui 20 karton minyak masak dipercayai didalangi pemborong yang ingin mengaut keuntungan mudah yang menjual secara pukal. Ada juga pemilik yang sewa bangunan untuk menyembunyikan minyak masak peket yang dikumpul,” katanya.

Norena berkata, sepanjang operasi itu lebih 24 pekerja restoran ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Setakat ini, sebanyak 18 kertas siasatan dibuka membabitkan kesalahan di bawah Seksyen Subperaturan 21(1) Peraturan-peraturan Barangan Kawalan 1974, Seksyen 16A(1)(b), Seksyen 21 dan Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN