PADA minggu lalu, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 telah diumumkan.
Seramai 11,713 calon memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 10,109 calon pada tahun 2022.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, pencapaian calon SPM pada 2023 adalah lebih baik apabila merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.60 berbanding 4.74 pada tahun sebelumnya.
Tidak kisah apa pun keputusannya, para pelajar sudah pasti merancang hala tuju pengajian dan masa depan mereka selepas tamat SPM.
Bagi mengupas lebih lanjut mengenai kepentingan SPM dan hala tuju pelajar selepas peperiksaan utama itu, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI berkesempatan menemu bual Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Zainal Madon baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Ramai menganggap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah satu persimpangan yang perlu dipilih jalannya oleh seseorang. Adakah pandangan ini benar? Apakah pendapat Prof. mengenai peperiksaan utama negara itu?
ZAINAL: SPM adalah peperiksaan terpenting di peringkat sekolah menengah setelah 11 tahun di alam persekolahan.
Selepas itu, pelajar akan melangkah ke pendidikan tertiari atau memasuki alam pekerjaan. SPM juga adalah sijil utama yg melayakkan seseorang untuk bekerja, melanjut pendidikan atau mahu menjalani latihan khusus seperti bidang kepolisan, kejururawatan, ketenteraan, perguruan dan lain-lain.
Bagi yang berhasrat bekerja dengan perkhidmatan awam, SPM adalah syarat utama untuk memohon iaitu perlu mendapat sekurangnya kepujian dalam subjek Bahasa Melayu.
SPM adalah sijil lepasan sekolah menengah yang setaraf dengan kebanyakan negara lain. Contohnya, SPM setaraf dengan peperiksaan O Level. Dengan SPM, kita boleh melanjutkan pelajaran di peringkat prauniversiti, sijil atau diploma di dalam dan luar negara.
Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sentiasa memastikan standard dan kualiti SPM pada tahap tertinggi bagi memastikan sijilnya diiktiraf di seluruh dunia.
Justeru, SPM seumpama pelajar membeli ‘tiket masa depan’ untuk seseorang.
Keputusan SPM telah diumumkan baru-baru ini. Bagi yang cemerlang, mereka pasti akan melanjutkan pengajian. Sebagai seorang pensyarah, apakah pertimbangan-pertimbangan yang perlu diambil sebelum memilih cabang ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT)?
Perkara yang utama adalah memohon berdasarkan syarat kelayakan. Nasihat saya, mohon apa sahaja yang layak sama ada tingkatan enam, Matrikulasi, Unit Pusat
Universiti (UPU), Institusi Pendidikan Mara. Saya analogikan seperti guna ‘pukat tunda’. Mohon dan dapatkan tawaran sebanyak mungkin bagi meluaskan pilihan.
Bagi yang mendapat keputusan baik dan perlu buat pilihan, susun keutamaan berdasarkan minat serta perancangan kerjaya masa depan.
Jika anda tidak pasti minat kerjaya, jangan malu-malu untuk minta bimbingan daripada guru kaunseling.
Jika masih tak pasti, boleh ambil ujian minat kerjaya bagi menentukan minat anda. Selain minat, pelajar juga perlu melihat prospek kerjaya masa depan. Ini akan membolehkan pelajar memilih bidang yang menjadi keperluan pada masa depan.
Pada pandangan saya, pelbagaikan kursus atau bidang pengajian dan institusi pengajian.
Bagi yang mendapat keputusan kurang memberangsangkan, tidak perlu risau, kerajaan menyediakan peluang amat luas dalam Program Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam pelbagai bidang kemahiran.
Ada pelajar lepasan SPM memilih untuk tidak menyambung pengajian meskipun layak berbuat demikian. Ini kerana, mereka mahu bekerja dahulu bagi membantu keluarga dan lain-lain. Apakah nasihat Prof. kepada golongan ini?
Memang diakui terdapat pelajar yang berhadapan dengan kekangan dan cabaran untuk melanjutkan pelajaran. Antaranya, mereka ingin membantu keluarga dan sanggup berkorban melepaskan peluang walaupun mendapat tawaran.
Jika pelajar perlu bekerja sebab ibu bapa sakit dan menanggung keluarga mungkin ia boleh diterima atau menangguhkan pengajian kerana menjaga ahli keluarga.
Namun, jika disebabkan kewangan, ibu bapa dan pelajar perlu berusaha untuk mendapatkan maklumat bantuan yang disediakan.
Satu lagi golongan pelajar adalah mereka yang mendapat keputusan kurang cemerlang. Bagaimanapun, mereka ada minat untuk meneruskan pengajian. Jadi, adakah mereka perlu mengambil jurusan berkaitan teknikal?
Bagi yang mendapat keputusan kurang cemerlang, peluang melanjutkan pelajaran sangat terbuka luas.
Pelajar boleh mengambil sijil terlebih dahulu. Bidang yang ditawarkan juga terlalu banyak merangkumi automotif, kimpalan, solekan, kulinari, jahitan, seni, teknologi komputer dan animasi.
Pilih sahaja yang sesuai dengan minat dan kecenderungan pelajar. Syarat kemasukan juga minima dan sesetengah agensi menyediakan elaun sepanjang menjalani latihan.
Selepas mendapat sijil, jika berminat boleh teruskan pengajian di peringkat diploma atau mencari kerja.
Bagi yang berminat meneruskan dalam bidang akademik, tetapi tidak cukup syarat boleh mengambil pradiploma.
Selepas itu, mereka boleh menyambung ke peringkat diploma.
Kita dapati, bidang teknikal atau TVET ini sinonim dengan mereka yang kurang ‘pandai’. Namun, kini pelajar pandai pun pilih pengajian bidang ini kerana lebih menjamin masa depan. Bagaimana Prof. melihat perkara ini?
Seperti yang saya katakan tadi, apa yang penting pelajar perlu melanjutkan pengajian berdasarkan minat dan prospek masa depan tidak kira sama ada dalam bidang akademik atau TVET.
Jika pelajar belajar dalam bidang yang diminati sudah tentu akan lebih bermotivasi.
Tidak dinafikan terdapat bidang TVET menawarkan peluang kerjaya dengan gaji tinggi.
Ini sudah tentu akan menarik minat pelajar yang cemerlang untuk turut sama melanjutkan pelajaran dalam bidang TVET.
Kurikulum bidang TVET dirangka dengan penekanan lebih kepada komponen praktikal dan berorientasikan industri. Kekuatan ini menjadikan lulusan TVET laris di pasaran kerja.
Menurut kajian, hampir 50 peratus pelajar lepasan SPM memilih untuk bekerja. Ada yang mahu menjadi pempengaruh, usahawan produk dan sebagainya? Adakah tindakan mereka ini tepat pada zaman sekarang?
Setiap tahun, ratusan ribu pelajar lepasan SPM menamatkan zaman persekolahan. Kajian yang menyatakan 50 peratus lepasan SPM memilih untuk bekerja bukanlah sesuatu yang baharu.
Ia berlaku sejak dahulu lagi kerana tidak semua lepasan SPM berminat melanjutkan pelajaran dengan pelbagai sebab.
Jika tahun 80-an dan 90-an, peluang melanjutkan pelajaran terhad kerana faktor ekonomi keluarga yang tidak berkemampuan.
Kini, biarpun peluang melanjutkan pelajaran semakin luas, namun fenomena tidak minat menyambung pelajaran masih berlaku.
Ini mungkin disebabkan pelajar mahu cepat pegang duit, di samping melihat lulusan IPT tidak menjanjikan pekerjaan yang baik selepas graduasi.
Terdapat juga yang melihat pempengaruh sebagai idola mereka dan mahu popular dengan cepat tanpa melanjutkan pelajaran.
Pada pendapat saya, peningkatan pengetahuan dan kemahiran masih penting walaupun pelajar memilih untuk kerja selepas SPM kerana proses pembelajaran adalah sepanjang hayat.
Kementerian Pelajaran Malaysia memaklumkan, 10,000 calon SPM tidak menduduki peperiksaan. Apakah implikasinya kepada masa depan negara terutamanya dalam sektor tenaga kerja tempatan?
Negara memerlukan tenaga pekerja yang berpengetahuan dan berkemahiran bagi mencapai kemajuan. Ini akan tercapai jika rakyatnya mempunyai kelulusan tahap tinggi.
Perdana Menteri dan kerajaan sering kali mengumumkan pelaburan berteknologi tinggi dari luar negara. Semua ini memerlukan pekerja mahir sama ada dalam bidang akademik mahupun TVET.
Siapa yang akan mendapat peluang ini? Jawapannya adalah anak muda yang mempunyai kelulusan dan berkemahiran.
Pepatah ada menyatakan perjalanan seribu tahun bermula dengan langkah pertama.
Langkah pertama bagi pelajar adalah belajar bersungguh-sungguh dan capai gred terbaik dalam SPM.
Ada orang, SPM dia biasa-biasa saja. Namun sebab ada kemahuan, dia berjaya sampai ke menara gading dan berjaya. Ini menunjukan SPM bukan penentu hidup seseorang. Bagaimana Prof. melihat perkara berkenaan?
Kehidupan melalui pelbagai proses. Dari sudut psikologi perkembangan, kita berkembang sejak lahir hingga akhir hayat. Saya telah katakan, SPM ada langkah pertama kehidupan selepas alam persekolahan.
Namun, saya bersetuju SPM bukan penentu kejayaan seterusnya.
Ada yang bermula dengan keputusan SPM biasa-biasa, tetapi disebabkan sikap positif dan sentiasa mengejar kecemerlangan, dia cemerlang di peringkat seterusnya.
Situasi sebaliknya boleh berlaku, jika seseorang rasa cepat puas dan merasakan kejayaan sekarang akan kekal tanpa perlu usaha gigih.
Jika kita rajin baca buku memoir tokoh atau mendengar kisah peribadi sama ada orang berjaya atau gagal, kita boleh rumuskan bahawa kejayaan seseorang banyak bergantung kepada sikap serta daya usaha.















