KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan baru-baru ini meninggalkan seribu satu kisah kepada ibu bapa dan pelajar.
Bagi mereka yang berjaya, kegembiraan dan rasa syukur dipanjatkan atas satu lagi kejayaan dunia yang dilakar dalam bidang pendidikan.
Kejayaan itu cukup subjektif untuk disimpulkan. Ada yang berjaya kerana memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diduduki.
Namun, ada juga yang merasakan keputusan LULUS dan LAYAK untuk memperoleh Sijil SPM sebagai satu kejayaan peribadi.
Di sisi lain, ramai yang mungkin kecewa dan ralat apabila impian untuk meraih semua A tidak kesampaian.
Bagi kelompok ini, A bagi semua mata pelajaran adalah satu-satunya sasaran yang perlu diraih berbanding kejayaan memperoleh 5A, 6A mahupun 7A.
Kelompok ini adalah kelompok pelajar yang sangat bercita-cita tinggi dan seharusnya mereka juga diraikan.
Selain isu A, satu lagi persoalan yang dibangkitkan adalah berkenaan penilaian bagi menentukan sekolah mana paling hebat dan negeri mana paling berjaya.
Lantaran itu, ada pihak menyenaraikan kedudukan sekolah-sekolah terbaik yang menduduki ranking 10 terbaik bagi SPM 2023.
Isu ini turut menimbulkan polemik sesetengah penganalisis pendidikan yang merasakan adalah tidak masuk akal untuk menentukan sekolah mana yang terbaik.
Bagi mereka, membandingkan sekolah berstatus elit dengan sekolah-sekolah aliran biasa mungkin tidak adil jika mengambil kira beberapa perkara.
Antaranya adalah isu kemudahan, pengalaman guru yang mengajar selain kemampuan pelajar itu sendiri.
Dalam kita mencari siapa pelajar terbaik dan sekolah mana paling cemerlang, mungkin kita sedikit lupa tentang nasib 10,160 calon SPM yang tidak hadir menduduki peperiksaan berkenaan.
Dalam erti kata lain, mereka ini adalah kelompok pelajar yang tercicir daripada mengambil peperiksaan awam iaitu sijil yang menjadi syarat untuk sekurang-kurangnya mereka merebut tempat di lapangan pekerjaan.
Persoalannya, siapakah yang tercicir ini? Adakah mereka anak-anak orang kurang berkemampuan ataupun dari keluarga yang bermasalah?
Atau adakah pelajar-pelajar ini mempunyai alasan-alasan tertentu yang menyebabkan mereka tidak dapat menduduki SPM.
Mungkin sudah tiba masanya untuk pemegang taruh bagi bidang pendidikan duduk semeja dan mencari solusi di sebalik isu yang menyedihkan ini.
Di akhirnya, kita tidak hanya bercakap tentang mereka yang berjaya dalam SPM, tetapi lebih daripada itu adalah tentang kualiti pendidikan kepada seluruh anak Malaysia.















