fbpx
Gerakan Blockout yang dilaksanakan bagi memboikot selebriti dan pempengaruh yang menyokong produk yang dikaitkan dengan Israel baru-baru ini.

Blockout2024 jangan sampai caci, mengugut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Gerakan Blockout2024 yang dicetuskan di New York pada 6 Mei lalu bagi membantah selebriti yang tidak bersuara mengenai penindasan Zionis terhadap Palestin memberikan impak yang besar.

Tindakan boikot di media sosial ‘menjadi’ apabila ada nama-nama besar yang hilang jutaan pengikut selepas peminat mengambil tindakan unfollow secara beramai-ramai.

Menyekat akaun selebriti atau pempengaruh bermakna pengikut tidak lagi melihat hantaran gambar, video atau projek kolaborasi dengan penaja. Secara tidak langsung, ia menjejaskan periuk nasi.

Gerakan itu turut disambut baik netizen Malaysia yang menyenaraikan nama selebriti yang menjalin kerjasama dengan jenama pro-Israel.

Begitupun, situasi boikot itu berbeza kerana mereka dilihat menggunakan pendekatan meluahkan rasa marah di ruangan komen selebriti.

Tidak cukup kecaman, ada yang membuat ugutan tanpa memikirkan implikasi undang-undang dan emosi artis itu.

Pengacara dan pempengaruh, Hazeman Huzir turut bersuara bagi mengelakkan netizen hilang fokus dalam gerakan tersebut.

Beliau yang menyokong gerakan itu sejak rakyat Palestin diserang pada Oktober lalu meminta orang ramai menyekat akaun media sosial, bukan meninggalkan komen tidak beradab.

Katanya, tanpa sedar, komen yang diberikan membantu menaikkan engagement di akaun media sosial seseorang artis dan pempengaruh.

“Blockout adalah kempen yang mampu memberi impak besar, tapi yang hilang fokus.

“Blockout asalnya untuk ‘kacau’ marketing tool bisnes yang ada kaitan dengan Zionis. Cara mudah adalah block and go (sekat dan pergi).

“Tapi kita jadikan ia tempat sebar kebencian. Tinggalkan komen caci maki,” katanya.

Hazeman yang berpengalaman dalam bidang penyiaran turut berpesan, jangan disebabkan tindakan semberono netizen Malaysia menjadi fitnah terhadap gerakan Blockout.

Beliau mengajak orang ramai mengikuti dan menyertai gerakan tersebut bersandarkan kepada ilmu, bukan dengan emosi yang akhirnya membuat tindakan mengutuk dan mengugut seseorang selebriti tersebut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi turut sependapat dengan Hazeman apabila wujud kekeliruan berhubung kaedah mengacau algoritma promosi produk pro-Israel ini menjadi risiko sehingga tercetusnya kebencian.

“Kita boleh ikut gerakan itu, tetapi kena waras juga kerana setahu saya artis dan pempengaruh tempatan yang disenaraikan dalam Blockout 2024 beragama Islam yang juga bencikan kekejaman Israel.

“Di Amerika Syarikat lain, terang-terang ada artis mengaku sokong Israel, malah mereka tidak takut berada di belakang rejim Zionis.

“Kita di sini bertindak kasar mencaci maki, hina, malah ada yang mencetuskan perasaan benci orang lain terhadap seseorang artis. Tentu kita tidak mahu terjadi perkara tidak diingini terutama risiko jenayah akibat rasa benci itu,” tambahnya.

Antara selebriti yang disenaraikan dalam Blackout ialah Meerqeen, Nadhir Nasar, Nabila Razali, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Awal Ashaari dan Scha Alyahya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN