fbpx
TIKTOK menyediakan pelbagai fungsi bagi menjamin keselamatan pengguna.

Strategi TikTok kawal pengguna di bawah 13 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKEMBANGAN dunia digital telah mempengaruhi dan memberi impak kepada persekitaran kanak-kanak yang lebih akrab dengan gajet berbanding dunia luar.

Hal ini menjadi kebimbangan banyak pihak terutama berhubung kesan terhadap pembentukan diri mereka sekiranya pendedahan kepada wadah digital tidak dikawal sebaiknya.

Bagi membendung isu tersebut, platform video berdurasi pendek, TikTok menganjurkan satu perbincangan panel bagi memperkasakan ibu bapa supaya memainkan peranan aktif dalam membentuk pengalaman digital anak remaja mereka.

Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia berkata, Anuar Fadzil berkata, program tersebut merupakan platform untuk dialog tentang peranan penting ibu bapa dan strategi yang boleh digunakan bagi menjamin keselamatan anak-anak mereka ketika di atas talian.

“Pihak kami memandang serius tentang kawalan terhadap dunia digital buat kanak-kanak.

“Pada masa sama, kami menyambut baik seruan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil supaya ibu bapa memastikan kanak-kanak di bawah 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial.

“Program ini juga melibatkan pakar dan pempengaruh yang berkongsi kepakaran, pengalaman dan perspektif menyeluruh tentang amalan keibu­bapaan pada era digital ini,” katanya ketika ditemui semasa program Safety Panel Session di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara panel yang terlibat ialah Ke­tua Pegawai Eksekutif daripada Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mediha Mahmood; Pengarah IBU Family Resource Group, Isabelle Lai serta pencipta kandungan TikTok, Wan Sufina dan Danish.

Perbincangan panel bermula dengan tumpuan pada impak zaman digital terhadap dinamik keluarga, amalan keibubapaan dan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak.

Kemudian, ia disusuli dengan perbincangan tentang langkah-langkah semasa yang diambil bagi memupuk persekitaran dalam talian yang selamat buat kanak-kanak.

Panel juga berkongsi pelbagai tip dan strategi yang boleh diterapkan oleh ibu bapa bagi membentuk pengalaman digital anak-anak.

Selain penganjuran forum, TikTok turut melaksanakan usaha dari pelbagai aspek untuk memastikan pendedahan digital kanak-kanak dan remaja dapat dikawal dengan baik.

Kongsi Anuar, pihaknya juga komited dengan menetapkan syarat umur minimum 13 tahun serta mewujudkan pengalaman yang sesuai dengan umur.

Dari kiri: Hos, Sheahnee Iman Lee bersama para panel, Mediha, Isabelle, Sufina, Achai dan Anuar Fariz.

Ujarnya, ia bagi menyediakan ruang yang selamat dan inklusif buat mereka meneroka kreativiti sambil berseronok.

“Kami kagum menyaksikan bagaimana generasi ini menonjolkan kreativiti mereka di platform kami.

“Kami kekal komited untuk menjadikan TikTok sebagai tempat yang dipercayai, di mana semua orang boleh meneroka dunia dengan keseronokan.

“Golongan remaja mungkin baru mula membina kehadiran mereka dalam internet.

“Justeru, penting untuk perkhidmatan dalam talian dibina dengan mempertimbangkan keperluan mereka,” kongsi Anuar.

Tambahnya, pengguna berumur antara 13 dan 18 akan dilindungi oleh pelbagai ciri seperti sekatan pada video, mesej, komen dan privasi yang ditetapkan secara automatik pada TikTok.

Malah, TikTok menampilkan fungsi ‘Family Pairing’ iaitu ciri yang memboleh­kan ibu bapa memaut akaun TikTok mereka kepada akaun anak-anak bagi menetapkan kawalan seperti had masa skrin harian serta pilihan kandungan dan interaksi.

Di samping itu, TikTok menekankan kepentingan pendidikan literasi digital dengan menyediakan maklumat, sumber dan garis panduan yang berharga untuk pengguna.

Contohnya, TikTok Safety Centre mengandungi pelbagai maklumat, garis panduan dan sokongan seperti Portal Remaja dan Garis Panduan Penjaga.

Portal Remaja menawarkan alatan, panduan keselamatan dan kandungan pendidikan dalam aplikasi bagi membolehkan remaja menikmati pengalaman terbaik di TikTok.

Sementara itu, Garis Panduan Penjaga memberikan ibu bapa dan penjaga gambaran keseluruhan tentang TikTok serta fungsi, ciri dan garis panduan bagi membentuk pengalaman TikTok yang positif untuk anak-anak remaja mereka.

“Kami memandang berat peluang untuk menetapkan piawaian industri yang baharu bagi menangani cabaran industri tentang keselamatan remaja.

“Langkah-langkah tersebut adalah sebahagian contoh untuk merealisasikan komitmen kami dalam memupuk komuniti yang selamat dan positif buat semua pengguna TikTok.

“Bagaimanapun, kita mesti sedar bahawa keselamatan internet adalah tanggungjawab kolektif,” ujarnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN