fbpx
INDIVIDU yang mempunyai hutang tertunggak tetap layak untuk mengeluarkan wang mereka dalam Akaun Fleksibel KWSP. – GAMBAR HIASAN

Individu ‘berhutang’ boleh keluar duit KWSP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Individu yang disenarai hitam atau mempu­nyai tunggakan pinjaman dengan mana-mana institusi tetap layak mengeluarkan simpanan daripada Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perkara itu dimaklumkan pihak KWSP dalam satu ke­nyataan kepada Kosmo! bagi menjawab pertanyaan orang ramai tentang dakwaan tidak dapat mengeluarkan wang daripada Akaun Fleksibel kerana mempunyai hutang tertunggak.

“KWSP tidak menghalang ahli yang tersenarai dalam blacklist atau mempunyai hutang tertunggak institusi berkaitan membuat pilihan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan seterusnya memohon pengeluaran daripada akaun tersebut.

“Bagaimanapun, proses bayaran pengeluaran mungkin akan terjejas sekiranya akaun bank ahli sedang dalam status dibekukan atas sebab-sebab tertentu,” katanya.

Tambah KWSP, ahli yang berkaitan dinasihatkan untuk merujuk maklumat rasmi daripada laman web KWSP atau me­ngunjungi mana-mana cawangan KWSP untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Sementara itu, tiada juga syarat ditetapkan buat peminjam pengajian untuk mengeluarkan simpanan daripada Akaun Fleksibel KWSP.

Ujar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pihaknya tidak menetapkan sebarang syarat walaupun peminjam mempunyai tunggakan pembayaran.

Ujarnya, peminjam yang ­mempunyai tunggakan pinjaman pengajian cuma akan berdepan dengan masalah untuk membuat pinjaman dengan pihak bank sahaja.

“Kebiasaannya peminjam yang ada tunggakan, nama mereka akan masuk dalam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS).

“Jadi mereka (penghutang) akan berdepan dengan masalah hendak membuat pinjaman ­dengan pihak bank dan sebagainya.

“Namun untuk pengeluaran daripada Akaun Fleksibel KWSP, kita (PTPTN) tidak tetapkan apa-apa syarat. Perkara ini disahkan oleh pegawai Jabatan Dasar ­PTPTN,” katanya ketika dihubungi Kosmo!. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN