fbpx
Peniaga gerai Mok Su Nah Air Asam, Maznah Ismail menunjukkan hidangan nasi ayam RM5 yang kini dijual pada harga RM6 di Medan Selera RTC Tunjong, Kota Bharu semalam. – ROHANA MOHD. NAWI

Pelanggan mengeluh Menu Rahmah sukar ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rata-rata orang ramai terutama golongan B40 meluahkan rasa terkejut apabila mendapati kebanyakan kedai makan kini tidak lagi menawarkan Menu Rahmah berharga RM5.

Seorang pelajar, Marsya Sofia Mohd. Mustafa, 19, berkata, dia menyedari hidangan itu kini semakin sukar didapati, berbeza dengan tahun lalu apabila banyak kedai makan masih menawarkannya kepada pelanggan.

“Ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada saya yang perlu berjimat dalam berbelanja.

“Sebelum ini saya kerap juga membeli Menu Rahmah kerana mudah didapati dan cukup untuk mengisi perut. Selain itu, saya juga tinggal di asrama yang tidak dibenarkan untuk memasak sebab itu Menu Rahmah ini menjadi pilihan utama saya.

“Namun, kini semakin ketara seolah-olah kedai makan tidak lagi berminat menjual menu itu ataupun ditukarkan kepada menu lain yang lebih mahal,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang pekerja swasta, Mohammad Zaki Hussin, 31, berkata, ketiadaan Menu Rahmah terutama di kawasan bandar agak membebankan golongan pekerja yang bergaji rendah.

“Sukar untuk mendapatkan makanan seimbang serendah RM5 dan kebanyakan kedai yang masih menawarkan harga tersebut kebanyakannya adalah restoran makanan segera.

“Kalau Menu Rahmah makanan segera masih banyak, tapi mustahil kita boleh makan hidangan seperti piza setiap hari.

“Saya sendiri, setiap hari mesti mahu makan nasi berlauk. Namun, untuk nasi berlauk ayam mesti mencecah harga RM8 di Kuala Lumpur ini. Jadi, apabila Menu Rahmah ini semakin ‘hilang’ memang agak terkesanlah terutama semasa hari berkerja,” katanya.

Di Kota Bharu, seorang pe­langgan, Zamilah Awang, 57, berkata, dia terkejut selepas melihat sebuah gerai kegemaran yang menawarkan Menu Rahmah tidak lagi meneruskan jualan juadah itu ketika datang ke premis tersebut bulan lalu.

“Saya sebelum ini sering ke gerai tersebut untuk makan nasi ayam yang dijual pada harga RM5 termasuk percuma segelas air.

“Menu Rahmah di gerai tersebut sebenarnya menjimatkan perbelanjaan saya ketika membawa empat orang anak keluar makan di bandar ini.

“Di kedai lain, harga sepinggan nasi ayam mencecah RM7 atau RM8. Apabila tiada lagi Menu Rahmah di sini, saya perlu mengeluarkan lebih perbelanjaan makan anak-anak,” katanya.

Terdahulu, tinjauan Kosmo! di beberapa kedai makan di sekitar Kuala Lumpur mendapati, kebanyakan kedai makan tidak lagi menawarkan Menu Rahmah de­ngan harga RM5.

Sebaliknya, banyak premis-premis menjual makanan lebih memilih untuk menawarkan menu jimat mereka sendiri yang kebiasaannya berharga antara RM8 ke RM10.

Berita berkaitan: Peniaga mula lupakan Menu Rahmah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN