fbpx
CIKGU Muhammad Nazmi sentiasa membantu anak muridnya yang tinggal di pedalaman Lawas, Sarawak mengenali dunia luar melalui pelbagai pendekatan kreatif.

Dedikasi Cikgu Nazmi buat murid pedalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“CIKGU, bagaimana rupa lampu isyarat?” Soalan polos daripada salah seorang pelajar sekolah rendah yang cuba memahami konteks keselamatan jalan raya itu telah menyentuh hati seorang guru muda.

Secara umumnya, topik berkenaan lampu isyarat mudah difahami oleh kanak-kanak biasa seawal peringkat prasekolah.

Namun, perkara itu sukar untuk dibayangkan oleh pelajar-pelajar di Sekolah Kebangsaan Long Sukang, Lawas, Sarawak.

Bukan kerana tidak pandai, tetapi dunia mereka sangat terpencil dan berbeza dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Pengalaman mengajar di kawasan pedalaman kategori dua sekitar tahun 2017 hingga 2020 menjadi detik pemula yang membentuk karier Muhammad Nazmi Rosli sebagai seorang guru bahasa Inggeris.

Bagi membantu pemahaman pelajar-pelajar dari etnik Suku Lun Bawang tersebut, guru berusia 30 tahun itu menggunakan kaedah latihan simulasi bilik darjah dengan membawa ‘dunia luar’ ke dalam ruang pembelajarannya.

Antara pemandangan lazim yang dibina daripada bahan kitar semula termasuk kedai dobi, ruang dalam kapal terbang, pantai, zoo negara, hospital dan kolam renang.

Bahan-bahan pengajian tersebut dibuat selari dengan silibus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kaedah itu diinspirasikan daripada danger room iaitu kemudahan latihan fiksyen yang terdapat dalam buku komik Amerika Syarikat terbitan Marvel Comics.

Usahanya itu membuahkan hasil apabila rata-rata anak didiknya meraih keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2019.

Menurut Muhammad Nazmi, pengalaman mengajar di sekolah pedalaman membuka matanya terhadap realiti kehidupan kelompok pelajar yang tinggal jauh dari dunia luar.

“Ramai ingat kesukaran untuk mengajar anak-anak di pedalaman adalah dari aspek tatabahasa dan kosa kata. Sebaliknya, isu sebenar adalah keterbatasan imaginasi mereka.

“Bagaimana hendak memahami konteks sesuatu pelajaran sekiranya mereka tidak pernah melihat dunia luar?

“Biarpun tiada kemudahan internet, namun saya nekad untuk membantu mereka memahami situasi yang ada dalam silibus,” katanya kepada K2.

Kaedah tersebut terus digunakan sehingga kini, biarpun bapa kepada dua orang anak itu sudah berpindah ke sekolah lain di Lawas yang memiliki suasana pembelajaran berbeza.

Ini selepas Muhammad Nazmi dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di Sekolah Kebangsaan Luagan pada 2021.

Kini, dia berkhidmat sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Kebangsaan Long Sebangang, Lawas.

Hasil dedikasinya, anak jati Lawas itu telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Guru Malaysia 2023 di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur pada tahun lalu.

Anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Untuk makluman, sekolah yang berada di kawasan pedalaman di seluruh Malaysia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Pedalaman 1 (P1),

Pedalaman 2 (P2) dan Pedalaman 3 (P3). Penentuan sama ada sesebuah sekolah itu berada di dalam kategori P1, P2 atau P3 dibuat dengan mengambil kira beberapa kriteria.

Antaranya bilangan mod pengangkutan (termasuk kos), risiko perjalanan, sumber air dan elektrik, kediaman, sanitasi, telekomunikasi, perkhidmatan kesihatan dan keselamatan serta kemudahan-kemudahan lain seperti bank, pejabat pos, selain bekalan bahan api.

Mereka yang berkhidmat di sekolah pedalaman dibayar mengikut kadar bulanan iaitu RM500 (P1), RM1,000 (P2) dan RM1,500 (P3).

Kongsi Muhammad Nazmi, masalah terbesar bagi kelompok pelajar pedalaman adalah diskriminasi sehingga menyebabkan mereka berasa tidak layak bergaul dengan orang luar.

MUHAMMAD NAZMI berlakon sebagai penjual dalam simulasi di kedai runcit.

“Masalah terbesar pelajar di sekolah pedalaman bukanlah ketiadaan elektrik atau bekalan air bersih, tetapi mentaliti pelbagai pihak terhadap mereka.

“Golongan penceramah atau pakar motivasi enggan masuk ke pedalaman kerana secara logistiknya agak renyah dan memakan masa lama.

“Sebahagian tenaga pengajar juga tidak bermotivasi untuk mengajar kerana merasakan para pelajar tiada harapan akibat jurang pemahaman.

“Sebahagian ibu bapa juga enggan anak mereka keluar dari kampung.
“Ini kerana, ibu bapa mahu anak mereka membantu di kebun atau menjaga ternakan,” katanya.

Tambah Muhammad Nazmi, kanak-kanak di pedalaman juga perlu berpisah dengan ibu bapa seawal usia lima tahun kerana perlu tinggal di asrama sekolah.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Muhammad Nazmi adalah menemani seorang pelajar prasekolah melihat bintang pada pukul 2 pagi. Aktiviti tersebut dilakukan bagi membantu anak kecil itu mengubat rasa rindu dengan ibu bapanya di rumah.

Keperibadian Muhammad Nazmi ternyata menyentuh hati ibu bapa para pelajar dan mereka sanggup meredah perjalanan selama empat jam untuk ke pekan bagi mencalonkannya dalam kategori Rise Educator Award 2021.

Bahkan, kisah guru berkenaan pernah diadaptasikan ke dalam telefilem khas sempena Hari Guru berjudul Cikgu Daniel yang disiarkan di TV2 pada 16 Mei tahun lalu.

Selain menunjukkan usahanya membina danger room, telefilem tersebut turut mempamerkan inisiatif Muhammad Nazmi mengunjungi rumah murid untuk memberi bantuan dan bahan pembelajaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menariknya, dia juga pernah tersenarai sebagai Top 10 Cikgu Digital 2024 bagi kategori pentadbir yang dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Sebagai seorang guru yang telah berpindah ke sekolah kategori luar bandar, Muhammad Nazmi menemui pelbagai keletah lucu pelajar-pelajar terutamanya selepas mereka memiliki akses internet.

“Saya pernah mengajar anak murid tentang selebriti kurang upaya (OKU) termasuk Stevie Wonder yang merupakan OKU penglihatan.

“Menariknya, ada anak murid yang bercanggah pendapat dengan saya. Kanak-kanak ini kongsi link kepada saya pada waktu malam untuk membuktikan pendapatnya.

“Kini, saya masih lagi menerokai pengajaran dalam dunia digital.

“Bagi saya, setiap guru perlu tahu cara adaptasi suasana baharu yang sesuai dengan keperluan murid mereka,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN